Friday, August 19, 2022

Impak alam sekitar dalam setiap pelan pembangunan: JKR

Secara Rawak

KUCHING: Para pemain dalam industri pembinaan di negara ini digesa melakukan inovasi dalam setiap pelan pembangunan mereka, dengan memberi penekanan yang lebih kepada aspek kesan rumah hijau dan alam sekitar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu boleh dilaksanakan dengan meningkatkan kualiti struktur dan reka bentuk infrastruktur agar dapat mengadaptasi perubahan cuaca ekstrem.

” Berdasarkan trend iklim yang tidak menentu ketika ini, pihak industri perlu mengambil langkah dengan mengambil kira aspek alam sekitar bagi mengurangkan risiko ancaman terhadap infrastuktur seperti jalan raya, bangunan dan infrastruktur lain akibat keadaan cuaca berkenaan.

” Malah kita perlu melakukan kajian dan perancangan untuk menghadapi cabaran ini pada masa akan datang.

” Jika tidak, perubahan cuaca ini akan mendatangkan lebih banyak kerosakan dan kerugian kepada rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) di sini semalam.

Fadillah yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut menyaksikan Majlis Menandatangani Akujanji Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Pengerusi ABM, Datuk Seri Ir Dr Judin Karim.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, dalam konteks hari ini, kelestarian alam sekitar adalah sesuatu yang amat penting dalam setiap pelan pembangunan yang akan dilaksanakan.

” Keadaan ini lebih mendesak jika ia membabitkan lokasi di bandar, yang lebih terdedah dengan risiko kemusnahan akibat bencana alam.

” Oleh itu, antara elemen yang perlu dititikberatkan dalam setiap pelan pembangunan ini ialah sistem saliran dan perparitan, yang dilihat memainkan peranan penting dalam menampung aliran air di kawasan bandar.

Katanya, mengambil contoh banjir kilat yang berlaku di Kuching tiga hari lalu, sistem perparitan yang sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah hujan luar biasa dialami.

Sehubungan itu jelasnya, kerjasama agensi kerajaan dan pemain industri pembinaan amat dituntut bagi mengerakkan inisiatif itu, seterusnya melaksanakan dasar pembangunan yang mengambil kira aspek alam sekitar.

” Dengan adanya kerjasama ini, pelan pembangunan yang dirangka akan dapat diteliti terlebih dahulu bagi melihat kesesuaian reka bentuknya terhadap kelestarian alam sekitar setempat,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru