Friday, August 19, 2022

Harga petrol turun, diesel kekal

Secara Rawak

KUCHING: Berikutan apungan harga minyak dunia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam mengumumkan penurunan harga petrol di seluruh negara, berkuat kuasa jam 12.00 malam tadi.

Menurut kenyataan yang disalurkan kepada media, harga untuk seliter RON95, turun 15 sen kepada RM1.60 seliter, berbanding harga lama RM1.75 seliter.

Pada Januari, jualan RON95 mencatatkan RM1.85 seliter.

Turut turun ialah RON97, yang kini dijual RM1.95 seliter berbanding RM2.05 sebelum ini.

Pada Januari, harga RON97 adalah pada paras RM2.25.

Harga diesel bagaimanapun kekal pada RM1.35.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa KPDNKK Negeri Sarawak, Abdul Hafidz Ab Rahim ketika dihubungi berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan di semua outlet stesen minyak di negeri ini bagi memastikan harga yang diumumkan kerajaan dipatuhi sepenuhnya.

” Insya Allah, tidak akan berlaku penipuan kerana kita sudah buat ‘penentusahan’ bagi semua pam minyak. Tidak ada masalah,” katanya lagi.

Sistem apungan harga minyak petrol dan diesel mulai dilaksanakan pada 1 Disember 2014 berikutan pengecutan harga minyak mentah dunia sehingga 40 peratus dalam hanya tempoh empat bulan.

Berikutan itu, Kerajaan melakukan tindakan drastik dengan memansuhkan subsidi minyak, yang pada tahun 2013 menelan belanja RM20 bilion.

Sistem apungan terkawal itu dikatakan lebih responsif terhadap perubahan harga pasaran dunia, walaupun bukanlah apungan yang sebenar.

Sehubungan itu, harga runcit RON95 dan diesel boleh bertukar setiap bulan di bawah sistem baru ini. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru