Pemimpin DAP bermain dengan dewa

Video parodi untuk kempen kutipan derma bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak akan datang mencetuskan kemarahan apabila DAP bertindak keterlaluan mencemarkan kesucian Dewa Kekayaan yang disanjung tinggi oleh masyarakat Cina sebagai peminta sedekah.

Inikah yang dimaksudkan dengan berani ubah demi kebaikan negara? Anang takut, anang surut! UBAH for Real Change?  

Lebih baik DAP jelaskan dahulu kepada rakyat apa yang mahu diubah itu dan bagaimana mengubahnya?      

Sepatutnya mereka menghormati adat kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Cina – seharusnya perlu saling menghormati dan bertoleransi dengan kepercayaan masyarakat majmuk Malaysia.  

Paling memeritkan ialah perbuatan memalukan ini dilakukan oleh Cina sendiri.

Kalau orang Sabah, bilang “okon ko nopo ko itokou itokou nga isaai po ….”, “If it’s not you then who will ….”.

Bukannya kita khuatir ia akan menimbulkan kekeliruan lantas memesongkan generasi muda, tetapi tindakan sedemikian dipercayai akan menyukarkan Cina mencari nafkah hidup, tiada nasib, tiada jodoh, tiada rezeki, ditimpa  malang dan lebih buruk ditimpa musibah.          

Masyarakat Cina ialah masyarakat bertamadun yang kaya dengan tradisi adat resam.     

Tradisi yang diwarisi daripada moyang masyarakat Cina sejak zaman-berzaman telah dihina oleh ahli parlimen DAP ini hanya semata-mata disebabkan oleh motif politik – ingin meminta duit daripada rakyat Malaysia untuk DAP bertanding di pilihan raya negeri Sarawak ke-11 ini.

Masyarakat Cina berpegang kepada kepercayaan rezeki kita di tangan dewa-dewi dan Maharaja Jed.

Sehingga kini tiada perihal yang mengatasi tradisi tersebut kerana meskipun ramai yang sudah beragama Buddha, Kristian, dan ada juga Islam, ramai lagi yang masih meneruskan tradisi dan pantang larang yang mencakupi hal-hal daripada kelahiran sehinggalah mati.

Sebab itu juga guru-guru fengshui dan tukang tilik nasib sentiasa menjadi perhatian setiba musim perayaan Tahun baharu Cina.            

Meskipun amalan kebudayaan ini ada perbezaan mengikut suku etnik, Dewa Kekayaan secara umum ialah dewa yang dihormati oleh semua.

Rata-rata memilih untuk menghormati amalan yang diwarisi secara turun-menurun untuk menghindari dewa-dewi yang melindungi dan memberi rezeki kepada kita murkah.   

 Orang Cina menyembah dan memuliakan Dewa Kekayaan (God of Wealth) termasuk mengundang Dewa Kekayaan datang atau masuk ke rumah agar sepanjang tahun akan datang sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki yang melimpah ruah kepada seluruh ahli keluarga.

Anak-anak dari kecil dididik Dewa Kekayaan dipercayai membawa kekayaan dan harta kepada masyarakat Cina.

Ramai yang akan menghiasi rumah dengan melekat gambar dewa kekayaan setiap kali musim perayaan Tahun Baharu Cina untuk meminta berkat dan nasib yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sesetengah keluarga akan meletakkan patung dewa kekayaan di ruang tamu rumah mereka. Para perniaga juga meletakkan dewa kekayaan di pejabat mereka agar diberkati dengan kejayaan dan kemakmuran.

Bagi masyarakat Cina yang beragama Buddha juga akan pergi ke tokong sembahyang dengan doa-doa kesyukuran dan mohon dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan murah rezeki.     

Budaya Cina semasa Tahun Baharu Cina melafazkan kata-kata yang membawa tuah dan berkat (吉祥) kepada orang lain seperti jelas dalam sebutan Gong Xi Fa Cai (恭喜) – bermaksud ‘Tahniah dan semoga perolehi rezeki’ dan Xin Nien Quai Ler, Sui Sui Ping An (岁岁平安). Waktu perayaan pantang bagi seseorang itu memberi ataupun menuntut hutang, memaki hamun bercakap perkataan tidak baik dan sebagainya.         

Mereka berdua seharusnya dikenakan ‘sogit’ kerana melanggar pantang larang adat kalau mengikut adat masyarakat Kadazandusun.                                    

Apabila sekumpulan pelancong asing tiada toleransi sosial berkelakuan tidak senonoh di puncak Gunung Kinabalu,  upacara ritual monogit telah dilakukan oleh Bobolian untuk memohon maaf dan menenangkan semangat Aki Nabalu.          

Dalam kes ini sewajarnya pihak DAP memohon maaf sebagai menghormati kepercayaan masyarakat Cina untuk mengelakkan peristiwa yang tidak diingini seperti malapetaka bencana alam atau mengundang nasib yang tidak baik kepada masyarakat Cina.

Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan kita mempersendakan kepercayaan kebudayaan Cina kita sendiri. Ini umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Keluhuran budi pekerti seseorang akan terlihat pada ucapan dan tindakan orang itu sendiri. – SARAWAKVOICE.COM

赵公明