Rintihan mangsa banjir di Sarawak, “Sampai bilakah kami perlu tanggung derita ini?”

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah gambaran paling tepat bagi mangsa banjir di bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya beberapa minggu lalu, dengan yang terburuk pada pagi 27 Februari.

Beraneka alasan diberi oleh pemimpin dan birokrat negeri, daripada cuaca dingin dari Tanah besar China hinggalah masalah sistem perparitan.

Hakikatnya, rakyat di ibu negeri sudah tidak lagi tertanggung derita.  Rumah mereka bukan saja dinaiki air, tetapi kenderaan sesetengah mereka juga rosak. Banjir keempat dalam dua bulan itu menyebabkan rumah warga ditenggelami air sehingga ke paras pinggang. Malah, beberapa pejabat kerajaan termasuk Hospital Umum Sarawak dan hotel dinaiki air.

Harta benda rosak musnah. Belum terdapat anggaran berapa jumlah kerugian. Yang pasti, tentu lebih daripada puluhan juta.

Semua itu memerlukan kos untuk baik pulih. Di tengah-tengah kos sara hidup yang mencekik, semua itu hanya menambah beban derita.

Justeru, mereka mohon agar pemimpin politik dan mereka yang puna kuasa, tidak beri alasan.

Sebaliknya, perlu punya perancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah itu secara tuntas.

Tidak dinafikan, jabatan dan agensi kerajaan banyak membantu ketika banjir, terutamanya dalam memindahkan mangsa ke tempat selamat. Keperluan dan makanan disediakan.

Memang, hujan turun dengan lebih selama lima jam menjadi punca. Dan, kerajaan berjanji untuk menyelesaikan masalah itu agar kerosakan dan kerugian dialami rakyat tidak berulang.

Dalam ucapannya di Sibu ketika meraikan Majlis Tahun Baru Cina, Ketua Menteri meminta jasa baik kerajaan persekutuan membantu menyelesaikan masalah perparitan.

Kebetulan pada pagi selepas banjir kilat itu, saya berjumpa dengan seorang jurutera.

Menurut beliau, Baraj Sungai Sarawak bukan punca masalah, malah paras air di baraj pada pagi itu, adalah rendah. Malah, tanpa barah, katanya, keadaan banjir pasti lebih teruk lagi.

“Masalahnya ialah sistem perparitan, dan parit yang banyak tersumbat sehingga air sukar mengalir,” kata beliau.  

Banyak warga Kuching yang menghala kritikan mereka kepada pihak MBKS.

Tan Sri Adenan Satem sedar akan derita dan kerugian yang terpaksa ditanggung penduduk Sarawak.

Sibu terletak di kawasan tanah rendah, jadi apabila banjir melanda, Sibu terjejas teruk. “Banyak usaha telah diambil oleh kerajaan, dan ia mendatangkan hasil, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

“Kami berhadapan dengan masalah sekarang. Hujan turun berterusan di Kuching…Jadi, kita perlu mohon bantuan daripada kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan masalah perparitan di Sarawak,” kata Ketua Menteri.

Satu daripada isu penting yang dibincangkan Adenan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika di Sibu ialah masalah banjir kilat yang baru melanda Kuching.

Di Kuching semalam, Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan persekutuan akan lakukan apa-apa sahaja untuk menambah baik sistem perparitan di Sarawak.

“Kita akan lakukan yang terbaik, tetapi kita juga akan ambil kira implikasi kos,” kata Najib.

Beliau berkata, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sedang meneliti butiran lanjut.

Untuk sementara waktu, kita hanya perlu berdoa agar kejadian banjir kilat tidak berulang dalam waktu terdekat. – SARAWAKVOICE.COM