Keakraban Kerajaan Negeri-Pusat permudah pembangunan Sarawak: Najib

SARATOK: Keakraban di antara Kerajaan Negeri dan Pusat amat penting dalam menghadirkan banyak implikasi positif terhadap prospek pembangunan negeri ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perkara ini termasuklah dalam konteks ekonomi yang tentunya memberi banyak manfaat kepada rakyat.

” Bukti hubungan baik itu terserlah melalui proses perundingan bersejarah membabitkan penurunan lebih banyak kuasa pentadbiran atau empowerment kepada Kerajaan Sarawak, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa mencari pendekatan terbaik, termasuk melalui proses perundingan empowerment atau autonomi, yang diyakini mampu membawa lebih banyak pembangunan dan kemakmuran kepada negeri ini, begitu juga kepada rakyatnya yang berbilang kaum serta etnik,” katanya ketika merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 di Dataran Saratok, di sini semalam.

Program ini merupakan sebahagian daripada program lawatan kerja singkatnya ke negeri ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isterinya, Puan Sri Jamilah Anu; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim.

Menurut Najib, empowerment bukanlah sesuatu yang mustahil dilakukan selagi kedua-dua kerajaan berada dalam satu kelab iaitu Barisan Nasional (BN).

” Sebenarnya, banyak boleh kita lakukan apabila memiliki persamaan dan persefahaman yang baik,” katanya.

Konsep ‘Sejiwa Senada’ ini tambahnya, perlu diterjemahkan sebagai asas pengukuhan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Dalam ucapan yang sama, Najib yang juga Pengerusi BN Pusat turut menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada ‘Pasukan Adenan’ dalam pilihan raya negeri kali ini bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil dan boleh berunding dengan Kerajaan Pusat berhubung segala bentuk pembangunan yang diperlukan.

“Kita mesti ada semangat ‘Ngap Sayot’… semangat perjuangan. Kita harus memastikan kemenangan besar ‘Pasukan Adenan’ dan BN Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang semakin hampir.

“Ini adalah suara majoriti rakyat Sarawak…mandat besar diberikan itu perlulah kita (Kerajaan Persekutuan) hormati, termasuk melaksanakan pembangunan yang diimpikan rakyat,” katanya.

PRN11 dijangka diadakan dalam waktu terdekat, dengan tarikh penamaan calon dicadangkan pada 18 April ini, diikuti tarikh cadangan hari pengundian pada 30 April, susulan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir, Jun ini.

Dengan mandat lebih besar itu, kata Najib, BN Sarawak bukan hanya kekal berkuasa, malah turut mengekalkan kedudukan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan agar berada di pihak yang sama.

Pada majlis tersebut, Najib turut diminta memotong kek, masing-masing bagi meraikan sambutan 40 tahun beliau terbabit dalam politik, selain genap dua tahun Adenan menerajui kepemimpinan negeri.

najib razak 2” Hari ini genap dua tahun beliau (Adenan) menjadi Ketua Menteri. Tempoh dua tahun sangat singkat untuk beliau melaksanakan segalan-galanya untuk rakyat dan Sarawak. Berilah beliau lima tahun lagi untuk membawa lebih banyak pembangunan untuk negeri ini.

“Jika rakyat tersilap membuat pilihan pada PRN11 nanti, segala yang dirundingkan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat terutama yang menyentuh mengenai penurunan kuasa pasti menemui jalan sukar,” katanya.

Di Julau, semasa meninjau perkembangan projek berkenaan di Rumah Panjang Jawang, Bukit Seri, Najib meminta kaedah mikro hidro dan penapisan air yang dirintis Yayasan 1Malaysia diperluaskan ke kawasan pedalaman dan luar bandar di negeri-negeri yang dikenal pasti masih belum menikmati kemudahan bekalan elektrik dan air bersih.

Katanya, kaedah berinovasi itu terbukti berkesan sebagai sumber alternatif penyediaan bekalan elektrik dan air bersih di kawasan terbabit, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

“Di Rumah Jawang contohnya, pelaksanaan projek mikro hidro ini ternyata memberi banyak manfaat kepada penduduknya. Ia bukan hanya meningkatkan kualiti hidup, malah bekalan elektrik yang diperoleh turut menawarkan suasana penghidupan yang lebih selesa.

Dari segi corak penghidupan penduduk rumah panjang ini katanya, telah banyak beubah berbanding dahulu.

” Kini, kita bukan hanya menikmati cahaya lampu, bahkan perkakas elektrik lain juga sudah boleh digunakan. Ini memudahkan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Majlis Penasihat Yayasan 1Malaysia Sarawak (iM Sarawak), Datuk Joseph Salang Gandum.

Yayasan 1Malaysia Sarawak ditubuhkan di bawah 1MDB yang bertujuan membela nasib rakyat di negara ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Malangnya 1MDB dijadikan bahan politik oleh sesetengah pihak sedangkan tujuan kita mahu membantu rakyat.

najib razak 3

” Projek mikro hidro di Julau ini antara contoh terbaik, begitu juga inisiatif lain dilaksanakan iM Sarawak seperti sistem pemadaman api, baik pulih rumah, projek tenaga solar dan program sekolah angkat.

Sehingga kini kata Najib, iM Sarawak sudah melaksanakan sebanyak 1,431 projek yang memberi faedah kepada ramai penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak.

Di Kuching, ketika melakukan walkabout di Kampung Rantau Panjang dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang yang terjejas banjir, Perdana Menteri menjelaskan bahawa semua projek yang diumumkan ini tidak berkaitan dengan pilihan raya.

” Tanpa pilihan raya pun, kami tetap datang dan membantu Sarawak,” katanya dalam suasana santai kepada pihak media sebelum masuk ke dalam kenderaan rasmi.

Jelasnya, setelah lawatan tersebut, beliau berjanji sekolah SK Rantau Panjang akan dipindahkan ke lokasi baharu yang tapaknya akan dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

” Pada masa yang sama, saya telah mengarahkan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) membuat kajian tentang projek tebatan banjir di kampung tersebut, termasuk hakisan tanah yang berlaku di tebingnya pada waktu banjir yang lalu,” katanya.

Kampung Rantau Panjang merupakan kawasan rendah yang sering dinaiki air setinggi dua meter jika air melimpah dari Sungai Sarawak. – SARAWAKVOICE.COM