LAWAS: Kerajaan tidak akan mempertimbangkan penggunaan ganja sebagai kaedah untuk merawat penagih-penagih yang mengalami ketagihan dadah akut di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun terdapat beberapa cadangan berhubung perkara ini, termasuk mengambil iktibar tindakan beberapa negara Eropah, Malaysia bertegas tidak akan mengambil pendekatan serupa.

” Kita tidak mahu kaedah ini akan menambah statistik penagih berulang dan jumlah penagih baharu, yang kini sudah berada pada tahap yang membimbangkan,” katanya ketika merasmikan Hari Antidadah Kebangsaan di Taman Awam Lawas 2016 di sini.

Hadir sama Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Zahid menjelaskan, pada tahun lalu, Malaysia mencatatkan sejumlah 26, 600 penagih berdaftar, menjadikan jumlah keseluruhan penagih yang direkodkan seramai 282,660 orang.

” Keadaan ini amat menggusarkan saya apatah lagi apabila mendapat tahu ada antara murid semuda tujuh tahun telah terlibat dalam gejala ini, berbanding 13 tahun pada tahun sebelumnya,” katanya.

Malaysia kini merawat ketagihan dadah dalam kalangan penagih dengan menggunakan penawar jenis metadone.

Sementara itu, ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Sundar yang bernilai RM19.5 juta selepas itu, Ahmad Zahid mengumumkan kelulusan peruntukan bernilai RM27.53 juta untuk melaksanakan beberapa projek infrastruktur asas di Lawas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah besar peruntukan itu adalah untuk membina jalan raya luar bandar Mengkalap iaitu sebanyak RM23.6 juta yang akan bermula April ini dan dijadualkan siap pada Oktober 2018.

” Peruntukan lain termasuklah menyediakan kemudahan bekalan air bersih iaitu RM2.2 juta dan projek perumahan rakyat di Lawas, dengan kos RM1.73 juta.

Katanya, lebih banyak peruntukan akan diagihkan kepada penduduk luar bandar di Sarawak, termasuk membina sekolah berasrama penuh di Lawas jika ada keperluan.

Beliau mengulas cadangan Ketua Menteri, melalui wakilnya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan sebelum itu, agar Kerajaan Pusat menyegerakan pembinaan Lapangan Terbang Lawas yang baharu selain menubuhkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di situ.

Awang Tengah turut memohon Kerajaan Pusat menaik taraf balai polis di Merapok, Sendumin dan Sundar memandangkan ia adalah pos kawalan penting bagi Sarawak dan Sabah. – SARAWAKVOICE.COM