Sunday, May 29, 2022

Najib sentiasa dekat di hati rakyat Sarawak: Adenan

Secara Rawak

SIBU: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem malam ini menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai ‘cukup dekat’ di hati rakyat Sarawak dengan pelbagai inisiatif pembangunannya sejak mengambil alih tampuk kepemimpinan negara.

” Kesungguhan beliau dalam membangunkan Sarawak, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar, amat dihargai oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam kesemua Perdana Menteri yang pernah kita miliki, Datuk Seri Najib, kata Adenan, adalah yang paling prihatin terhadap keperluan dan kehendak rakyat negeri ini, terutama dalam konteks pembangunan.

Majlis Profesor Negara (MPN) dalam kajian Oktober lalu mendapati bahawa populariti Najib berada pada paras melebihi 60 peratus dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Bagi pemerhati politik, hal ini membayangkan Najib sentiasa mendapat tempat di hati rakyat, ekoran kekerapannya ke negeri ini, dan keikhlasan serta komitmennya untuk membawa pembangunan terutama ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

” Apa sahaja (projek pembangunan) yang diumumkan, beliau sedaya upaya melaksanakannya…. bukan sekadar ‘omong kosong’. Kita mahukan lebuh raya, beliau berikan kita Lebuh Raya Pan Borneo yang kini sedang dalam pembinaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2016 di Dataran Sibu, di sini malam tadi.

Majlis tersebut adalah anjuran bersama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Adenan berkata, dengan adanya lebuh raya itu serta pelbagai projek infrastruktur lain, tentunya ia membuka lebih banyak peluang sosioekonomi, yang tentunya memberi implikasi positif terhadap kehidupan rakyat untuk tempoh jangka panjang.

” Perdana Menteri sedar masih banyak ‘kekurangan’ di Sarawak. Dengan hubungan baik yang sedia terjalin dengan kerajaan negeri, beliau akan memimpin Kerajaan Pusat mengatasi semua ‘kekurangan’ itu dan memastikan jurang pembangunan menjadi setara antara Sarawak dan negeri lain, khususnya di Semenanjung.

Rakyat Sarawak tambahnya, tidak risau dengan ‘kekurangan’ itu kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang sangat prihatin, namun sudah tentulah semua usaha ini memerlukan masa untuk dilaksanakan.

Beliau turut menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang sentiasa peka terhadap kehendak dan keperluan rakyatnya.

“Setiap kali kita dilanda kesusahan atau musibah, beliau pasti akan ‘turun padang’ meninjau keadaan… menghulurkan bantuan dan mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

” Contohnya, banjir yang sedang berlaku agak luar biasa disebabkan hujan lebat dan sistem perparitan.

” Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi kita bantuan dalam mengatasi pemasalahan sistem perparitan itu,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru