Tentera tubuh lembaga penyiasat, korban tragedi disemadi

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam telah menubuhkan satu Tim Lembaga Penyiasatan bagi menyiasat punca pesawat CN235 mendarat cemas dan terbakar di Kuala Selangor, semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporatnya, lembaga penyiasatan itu diketuai seorang prgawai kanan berpangkat kolonel, yang juga juruterbang TUDM dan dibantu empat anggota.

” Mereka ialah juruterbang, jurutera dan seorang doktor perubatan yang akan melihat dari pelbagai aspek kejadian sebelum membuat rumusan punca insiden.

Setakat ini, petik kenyataan itu, masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian insiden ini dan siasatan terperinci perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong ia berlaku.

Sementara itu, kesemua lapan anak kapal yang terlibat dalam insiden ini berada dalam keadaan selamat dan stabil.

” Empat anak kapal diberikan rawatan pesakit luar oleh doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia dan telah dibenarkan pulang.

korban tudm 2

” Manakala empat lagi dimasukkan ke wad di Rumah Sakit ATM untuk pemeriksaan lanjut.

Ketika ini, Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) sedang membuat penilaian selanjutnya untuk menentukan langkah-langkah dan usaha membawa keluar pesawat tersebut dari kawasan tragedi secepat mungkin.

Pada masa yang sama, Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) selaku pengurus konfigurasi sistem pesawat, dipertanggungjawab untuk menyelaraskan segala keperluan bantuan teknikal dan pakar yang sewajarnya, termasuk daripada agensi-agensi luar TUDM.

” Ini bertujuan untuk menganalisis dan mengenal pasti punca kejadian.

korban tudm 3” MPBU juga akan membantu MPOU dalam mengkoordinasikan bantuan agensi luar berkaitan usaha membawa keluar bangkai pesawat dari lokasi insiden.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Roslan Saad hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abu Hassan Abdul Latib, seorang penduduk tempatan yang mati lemas ketika merentasi tali air untuk ke lokasi kejadian.

” Abu Hassan gagal berenang disebabkan faktor sedutan daripada sistem perparitan tersebut.

TUDM telah menghulurkan sumbangan berbentuk kewangan kepada keluarga Allahyarham selain memberikan bantuan semasa upacara pengebumian semalam. – SARAWAKVOICE.COM