Wednesday, June 29, 2022

Perangi keganasan, ekstremisme bersama

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:Masyarakat perlu berganding bahu dengan kerajaan dan pasukan keselamatan  memerangi segala bentuk jenayah, keganasan dan ekstremisme, Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata aspek keselamatan merupakan asas penting dalam pembangunan sesebuah negara dan kerana itu ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak, lapor Bernama.

“Asas  atau tiang seri kepada mana-mana negara… tanpa keselamatan, kita tak mungkin boleh membawa pembangunan, malah kita mungkin tak tidur jenera (lena) tiap-tiap malam kalau rasa diri kita dan keluarga kita tidak selamat.

“Maka keselamatan memerangi jenayah dan menolak keganasan serta ekstremisme mestilah diberi perhatian yang serius bukan hanya oleh kerajaan, pasukan keselamatan tetapi juga masyarakat setempat dan pemimpin tempatan, yang mesti bersama memerangi jenayah, memerangi keganasan dan segala bentuk fahaman yang boleh membawa kepada kejahatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Komuniti Muhibbah dan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan di PPR Kampung Muhibbah di sini hari ini.

Perdana menteri berkata, soal keselamatan merupakan antara empat perkara yang beliau selaku ketua pentadbiran kerajaan tekankan dan dijadikan keutamaan, manakala tiga lagi adalah kestabilan politik, tadbir urus ekonomi yang baik serta menangani kemaslahatan (faedah) rakyat.

Bagi kestabilan politik, mengikut agensi berita nasional itu,  Najib berkata kerajaan tidak bersifat kuku besi dan mengamalkan ‘dictatorship’, sebaliknya menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen.

“Setiap lima tahun kita kembalikan kepada rakyat untuk pilih kerajaan yang dikehendaki oleh rakyat. Tetapi antara dua pilihan raya (umum) kita kena jaga kestabilan politik.

“Alhamdulillah kerajaan yang ada mempunyai majoriti yang mencukupi. Sesiapa yang uar-uarkan kerajaan akan tumbang, apa yang mereka dakwa itu (tidak menjadi), apabila belanjawan negara tahun lepas diluluskan di Parlimen dengan majoriti yang besar. Begitu juga rang undang-undang lain juga boleh diluluskan Parlimen. Kita tak bimbang dari segi kestabilan politik,” katanya.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata rakyat perlu memastikan kestabilan politik negara terjamin dan tiada yang mampu menggugatnya.

“Kalau hidup dalam keadaan terumbang-ambing dari soal keselamatan dan kestabilan politik, yang akan rugi adalah rakyat jelata,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru