john jabanKUCHING: Aktivis sosial “Sarawak for Sarawakian” atau S4S hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan daripada pergerakan itu untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Peter John Jaban berkata, tindakan itu adalah sesuatu yang salah kerana pergerakan itu merupakan “kumpulan pendesak”, bukannya bersifat pergerakan politik.

” Kita semua tahu S4S ini adalah pergerakan bebas politik. Tidak ada sangkut-paut dengan politik.

” Sesiapa yang ingin bertanding, itu dia punya pasal tetapi jangan gunakan S4S.

Kata Peter John, S4S popular kerana ia merupakan pergerakan yang tidak menyebelahi mana-mana parti politik di negeri Sarawak.

” Sebab itulah S4S popular dan banyak orang memberi sokongan,” tegasnya.

S4S kata Peter lagi, adalah suara rakyat.

” Justeru mereka yang ingin bertanding (pilihan raya) janganlah menumpang populariti S4S kerana ia akan menyebabkan pergerakan ini tidak akan lagi disenangi dan dihormati.

Bekas penerbit Radio Free Sarawak dan Sarawak Report itu mengulas tentang tindakan aktivis Beng Khor, Lina Soo dan Fong Pau Teck yang menggunakan pengaruh S4S untuk bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Malah dalam statusnya dalam akaun facebook, Beng Khor menyatakan pendiriannya untuk bertanding dan memungut derma orang ramai. – SARAWAKVOICE.COM