Sunday, January 23, 2022

Adenan: “Kalau nak polong, polong saya”

"Selepas lima tahun, pencen. Tidak mahu lagi. 40 tahun dalam politik,cukuplah. I want to look after my old wife...I cannot perform at night also...” - Adenan Satem

Secara Rawak

Tan Sri Adenan Haji Satem menjawab segala soalan Sayed Munawar Syed Mohd Muhtar,  moderator rancangan “Bersama Ketua Menteri Sarawak”dengan gaya yang santai, natural dan bersahaja.

Rancangan itu disiarkan secara langsung oleh TV1 dari pukul 9.00 hingga 10.00 malam tadi, 26 Februari. Ia bertepatan dengan ulang tahun kedua Adenan dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014.  

Sesekali  Ketua Menteri berusia 72 tahun itu menyelitkan jawapannya dengan humor dan falsafah meskipun sesekali diganggu batuk. Tetapi yang jelas, wawancara itu berlangsung dengan menarik, menukik ke dalam inti persoalan dan isu yang menjadi perhatian 2.7 juta  rakyat Sarawak, termasuk 1.1 juta yang bakal mengundi, 30 April nanti.

IMG_0501Isu yang diliputi menyangkut pelbagai perkara. Termasuk pertelagahan dalaman parti komponen Barisan Nasional, pembalakan haram, autonomi, kemiskinan dan pembangunan luar bandar, serta persediaan hadapi pilihan raya negeri ke-11.

Dari segi usaha mengurangkan bebanan kehidupan yang kini ditanggung rakyat, Adenan berkata, kerajaan telah mengurangkan tarif elektrik, mengurangkan kadar feri kepada hanya seringgit menghapuskan tol dan akan menghapuskan cukai pintu/tanah terutama bagi penduduk luar bandar mulai pertengahan Mac ini.

“Selepas lima tahun, pencen. Tidak mahu lagi. 40 tahun dalam politik,cukuplah. I want to look after my old wife…I cannot perform at night also,” – Adenan Satem

Langkah itu, bagi beliau dapat mengurangkan tekanan hidup orang miskin dan mereka yang berpendapatan rendah. “Takkan mereka nak makan batu,” kata beliau bersahaja, dan penonton di Auditorium P.Ramlee,RTM Kuching, pecah perut.

Ketika menyentuh tentang kadar bayaran feri, sekali lagi beliau berjenaka: “Kalau mereka merungut, mereka boleh berenanglah.”

Sejak mengambil alih kepemimpinan negeri, Adenan telah melaksanakan 50 prinsip dan keputusan yang bertujuan untuk mensejahterakan kehidupan rakyat. Tindakan pembaharuan yang diambilnya melantunkan populariti beliau ke papan atas, mencecah 84 peratus.

IMG_0496Sayed Munawar, moderator kawakan dan andalan itu memetik tulisan Adenan ketika berusia 18 atau 19 tahun hasil penyelidikan pihak RTM di arkib, “Saya mempunyai impian dan harapan untuk berkhidmat dengan baik kepada negara,” tulisnya.

Ternyata impian itu menjadi realiti. Tulisan itu mengikut Sayed Munawar,  bukan sahaja menggambarkan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, tetapi visi seorang anak muda untuk memberi perkhidmatan kepada negara.

“Masa muda-muda memang banyak angan-angan, tetapi syukur dapat penuhinya,” kata Adenan, mengimbas balik saat-saat waktu muda remaja.

Menyentuh tentang cabaran menjelang pilihan raya nanti, beliau mengakui bahawa terdapat pemimpin politik yang degil dan enggan berkompromi. “Kata dia, kata dia juga. Namun, akhirnya saya sendiri dan Perdana Menteri yang akan buat keputusan. Takkan BN nak benarkan dua tiga orang bertanding di satu kawasan. Mereka boleh kata apa yang mereka hendak kata, tetapi saya yang akan buat keputusan akhir,” tegasnya.

IMG_0498Ketika ini, SUPP dan UPP, serta SPDP dan Teras enggan bertolak ansur, dan jika masalah ini tidak dapat diselesaikan, ia mungkin akan menjejaskan peluang BN untuk memenangi kerusi terbabit, terutama di bandar. DAP akan mendapat manfaat jika berlaku pertembungan tiga penjuru nanti. Beliau mengakui ramai yang berebut hendak jadi calon, dan hal ini membuktikan kekuatan BN.

Pada pilihan raya 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi, DAP 12, PKR tiga, dan calon Bebas 1. BN menguasai 55 peratus undi popular, dan dijangka dalam pilihan raya akan datang, ia akan dapat mengukuh sehingga sekurang-kurang 60 peratus.

Bagi menyelesaikan masalah perebutan kerusi antara parti terbabit, pengerusi BN negeri itu berkata, beliau akan kemukakan calon langsung yang mampu menang, dan selepas itu calon terbabit boleh memilih parti yang hendak disertai.

Adenan juga menyentuh tentang autonomi dan perundingan dengan kerajaan persekutuan. Beliau percaya perkara itu mengambil masa, justeru perlu dilakukan langkah demi langkah. Adenan menafikan beliau bersikap anti-Semenanjung; sebaliknya mengikut beliau, “Saya antiketidakadilan.”

Dalam tempoh lebih 50 lalu, mengikut Adenan, banyak hak Sarawak telah terhakis. “Kita tuntut sesuai dengan perlembagaan. Tidak ada kaitan dengan isu hendak keluar Malaysia. Itu tindakan bodoh,” katanya. Dua kali beliau menggunakan perkataan ‘bodoh’ dalam temu bual itu. Beliau mengingatkan rakyat tentang, siapakah yang akan menanggung perbelanjaan dari segi keselamatan, pendidikan, kesihatan, dan pertahanan, jika itu berlaku?

Beberapa bulan lalu, Adenan menyifatkan Putrajaya ‘bodoh’ kerana tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC).

“Jika tidak iktiraf UEC, yang pandai akan lari kerana universiti swasta mengiktiraf sijil itu,” katanya cuba mempertahankan pendirian berbeza Sarawak, dalam wawancara berkenaan.

Bagi kerajaan Sarawak, Adenan menjelaskan, mereka yang punyai UEC boleh memohon biasiswa Yayasan Sarawak dan diterima  bekerja dalam perkhidmatan awam negeri. “Terpulang kepada kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan Sarawak akan terus mengiktiraf,” katanya.

Beliau mengakui bahawa proses rundingan dengan kerajaan persekutuan berjalan lancar kerana beliau punya hubungan baik dengan Perdana Menteri.

“Hubungan dengan Perdana Menteri begitu mesra. Saya sudah kenal beliau sejak beliau berumur 20 tahun. Senang berunding dengan Perdana Menteri. Jika ada masalah atau perkara yang hendak diselesaikan, angkat telefon saja, selesai. Hubungan yang baik penting untuk selesaikan masalah,” dedah beliau.

Beliau mahu membawa lebih banyak pembangunan, dengan mandat yang diberi kepada beliau nanti.

“Saya minta diberi lima tahun saja. Saya tak gila kuasa. Apa saya nak gila kuasa. Saya pernah jadi ADUN, Ahli Parlimen, dan Menteri. Selepas lima tahun, pencen. Tidak mahu lagi. 40 tahun dalam politik,cukuplah. I want to look after my old wife…I cannot perform at night also,” katanya, sambil penonton gelak ketawa sekali lagi, kerana gaya bersahaja beliau, menjawab dengan bahasa yang mudah dan berkesan. Lima tahun lagi Adenan akan berusia 77 tahun. Hanya orang dewasa sahaja faham maksud ayat terakhir itu.

Beliau turut ditanya tentang aktiviti pembalakan haram. Adenan yang dikenali sebagai serius dan tegas, mendedahkan bagaimana ada pegawai jabatan terbabit terjerumus dalam rasuah.

“Mereka ada mata, buta, ada telinga bengal, ada lidah bisu, kerana sudah disuap,” katanya.

Justeru, beliau telah memanggil sekitar 500 kakitangan jabatan terbabit untuk mendengar taklimat daripada MACC.

“Muka mereka pucat. Itu cara melakukannya,” tegasnya.

“No more nonsense,” katanya.

Beliau menyatakan bagaimana segelintir pegawai takut kena polong, justeru Adenan memberitahu pegawai terbabit untuk memaklumkan pihak yang mengancam itu, bahawa yang beri arahan ialah Ketua Menteri. “Kalau nak polong, polong Ketua Menteri,” katanya santai, dan sekali lagi penonton gelak ketawa.

Sejak mengambil alih kuasa, Adenan telah bertindak tegas terhadap aktiviti pembalakan haram. Rakyat bertanya mengapa tunggu Adenan? Tidak sedarkah pemimpin politik kita bahawa kegiatan itu berlaku  sejak 40 tahun lalu? Kita sudah kerugian bukan beratus-ratus juta, tetapi berbilion-bilion ringgit.

Namun, Adenan mengakui tidak terlalu lambat untuk bertindak, dan hasilnya hampir setiap minggu ada sahaja mereka yang terbabit, ditangkap pihak jabatan hutan. “Mereka ambil balak, macam nenek mereka yang punya,” katanya. Difahamkan 36 kilang papan haram telah tutup ekoran tindakan tegas beliau itu.

Ya, satu jam berlalu tanpa terasa. Adenan tampil memikat malam ini dari segi menjawab soalan perantara terkenal yang juga tidak kurang pintar dalam mengemukakan soalan.

Adenan sesungguhnya hanya ada satu wajah. Adenan tidak punya dua wajah. Beliau tidak hipokrit atau berpura-pura. Beliau mengakui seorang yang ‘temperamental’, dan punya mood.

Dan, tentang dirinya yang tidak pandai senyum, Adenan berkata: “Orang kata muka saya muram saja, tak pandai senyum. Itu saja muka yang Tuhan beri kepada saya. Tetapi setidak-tidaknya saya tidak bermuka-muka,” katanya, sedikit berfalsafah.

Adenan bagai hendak menyatakan, jangan menilai buku daripada kulitnya, nilaikan daripada isinya.

Jadi, jangan nilai Adenan daripada wajahnya, nilaikan Adenan daripada hatinya.

Mereka yang mengenali beliau menyifatkan Adenan sebagai orang yang baik hati dan jujur.

Namun, sejujurnya, bagi mereka yang mengikuti berita, jenaka dan ucapan Adenan secara dekat 24 bulan lalu, kandungan wawancara malam tadi tidak lebih sebagai ulang kaji.

Dan, itulah Adenan Satem, Ketua Menteri kelima Sarawak yang punya idea, keberanian, ketegasan dan keazaman politik untuk melonjakkan Sarawak ke hadapan. – SARAWAKVOICE.COM

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan pengarang prolifik yang kini bertugas di Universiti Malaysia Sarawak

IMG_0503

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru