KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini membidas amalan tidak sihat kewartawanan dan melonggokkan portal berita bersama-sama dengan tentera siber dan hulubalang papan kekunci.
Datuk Seri Najib Razak berkata, kemajuan Internet dan media sosial hari ini banyak mencetuskan penyelewengan, termasuk mengapi-apikan sentimen perkauman atau sikap tidak bertolar ansur terhadap agama.
“Ini satu amalan yang tidak sihat kewartawanan,” kata beliau dalam catatan terkini blognya, hari ini.
“Sudah berakhir, hari-hari yang kisah masyarakat ditentukan oleh kerajaan.
“Hulubalang papan kekunci, tentera siber dan portal berita telah menjadikan dunia dalam talian sebagai gelanggang permainan mereka dengan membina versi sendiri realiti yang memaparkan tajuk utama yang menarik demi agenda masing-masing.
Kenyataan Najib itu dibuat sehari selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses kepada portal berita The Malaysian Insider (TMI).
Perdana Menteri berkata, Internet merupakan harta kolektif warga global.
“Justeru, kita bertanggungjawab untuk tidak menyalahgunakannya,”katanya.
“Perang persepsi akan terus berlaku. Internet merupakan ruang terbuka untuk mengangkat suara orang ramai. Tetapi terpulang kepada kita untuk sentiasa berada di atas landasan kesederhanaan, dan tidak terjebak dalam agenda pengguna yang tidak bertanggungjawab. – SARAWAKVOICE.COM