Tak sempat makan mi kolok, nenek dilanggar lori sampah

KUCHING: Seorang wanita warga emas tidak sempat menikmati mi kolok bersama cucu perempuannya apabila dia maut dilanggar sebuah lori sampah yang sedang mengundur dalam kejadian di RPR Batu Kawa di sini, tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa Kebi Saban, 77 maut di lokasi kejadian akibat parah digilis lori sampah.

Kejadian itu turut menyebabkan beberapa bahagian badan mangsa hancur digilis lori dan polis terpaksa mengutip cebisan yang berterabur itu.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai makan berhampiran membeli mi kolok untuk cucu perempuannya.

lori sampah langgar mati_0000

“Mangsa berjalan di belakang lori dan pemungut sampah yang berada di belakang kenderaan itu mengarahkan mangsa beredar kerana lori itu akan mengundur. Namun, mangsa tidak mengendahkannya.

“Pekerja itu kemudiannya mengarahkan pemandu lori berhenti mengundur tetapi arahan itu tidak didengari pemandu terbabit, menyebabkan mangsa digilis tayar belakang lori,” katanya.

Mangsa yang parah digilis disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS). Pemandu lori membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Ng Ah Lek mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SARAWAKVOICE.COM