Siaran langsung Tahun Baru Cina dari Sibu malam Sabtu

SIBU: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung Majis Rumah Terbuka Malaysia pada,  Sabtu 27 Feb 2016, pukul 8.30 malam di TV1 dan TVi, kata sumber RTM Kuching.

Majlis yang diadakan di Dataran Bandar Sibu Fasa Satu, dijangka dihadiri 50,000 orang.

Majlis anjuran kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak itu dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dijangka turut  hadir bersama para pemimpin lain.

Pelbagai acara tradisi, termasuk tarian singa, persembahan nyanyian dan pertunjukan fesyen bakal diadakan.

Majlis itu walaupun biasa diadakan bagi meraikan perayaan penting masyarakat Cina, tetapi untuk tahun ini, dianggap mempunyai kepentingan yang tersendiri,, dalam usaha untuk Barisan Nasional membujuk pengundi di tiga kerusi majoriti Cina, iaitu Pelawan, Dudong dan Bukit Assek yang dikuasai DAP.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Sri Wong Soon Koh,  dalam kenyataan kepada media beberapa hari lepas berkata,  “kehadiran ketiga-tiga pemimpin penting itu merupakan gambaran jelas, bahawa mereka sayang dan prihatin terhadap rakyat Sarawak.”

Bagaimanapun, seorang pemerhati politik berkata, tidak dapat ditolak, penganjur juga mempunyai agenda politik untuk membujuk masyarakat Cina agar mengundi calon BN dalam pilihan raya nanti. Itu merupakan peluang terbaik untuk mereka bersemuka dengan jumlah orang Cina yang ramai meskipun majlis itu turut dihadiri etnik lain.– SARAWAKVOICE.COM