SONG: Seawal jam 6.15 pagi saya dan Runiy telah memulakan perjalanan dari rumah Encik Yazid ke jeti Batang Maro. Ternyata hujan lebat sepanjang hari semalam membuatkan perjalanan kami terasa berkabus dan kesejukannya menggigit ke tulang saya. Namun pemandangan sepanjang ke jeti tetap menarik pemandangan mata saya. Kedamaian dan ketenangan itu yang saya rasakan.

Tepat 6.30 kami bergerak menuju ke Kabong. Keadaan sepanjang menaiki boat begitu tenang,hanya sekali-sekala berombak tidak seperti ketika kami mula-mula bergerak ke sana. Ketika itu angin agak kencang menyebabkan perjalanan agak berombak.

Tiba di jeti Kabong, saya mengambil peluang memerhati kehidupan masyarakat di sana yang ternyata sudah memenuhi ruang pasar dan medan selera. Kesatuan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di sini tetap menarik hati saya, menguatkan lagi keyakinan saya bahawa 1 Malaysia memang utuh di Sarawak. ‎

Memulakan perjalanan ke Lapangan Terbang Sibu untuk bertemu Dr Ayush‎, tiba-tiba kenderaan yang dipandu oleh Cikgu Fakhrulradzi seorang anak Kelantan yang memasuki tahun ke-2 mengajar subjek Sains di SK Batang Maro ditahan oleh seorang pak cik tua. Dia bertanya tujuan perjalanan kami dan menyatakan sekiranya boleh dia boleh menumpang sehingga ke Bandar Sarikei bagi ke Tabung Haji.

Lembut dan tenang Cikgu Fakhrul mempersila pak cik itu untuk bersama-sama kami dalam perjalanan kerana Bandar Sarikei memang terletak di pertengahan jalan ke Sibu. Banyak yang kami bualkan bersama-sama, antaranya mengenai perubahan kemajuan dari mula-mula dia bermastautin di kampung itu sehingga kini. Pak cik ini tidak berhenti-henti bersyukur dengar rahmat pembangunan ini.

Hampir sejam perjalanan, kami tiba di bandar Sarikei dan menurunkan pak cik itu di pejabat Tabung Haji. Cikgu Fakhrul memaklumkan bahawa memang tradisi di sini di mana mereka saling tumpang- menumpang bagi memudahkan urusan satu sama lain. Terdetik di hati kecil saya berdoa agar Allah‎ terus memelihara akan kedamaian, keharmonian dan ketenangan yang ada di Batang Maro.

Setelah kira-kira sejam lebih, kami selamat tiba di lapangan terbang Sibu. Ketibaan Dr Ayush kami sambut dengan rasa gembira kerana apatah lagi melihat keterujaannya. Saya mengambil bekalan ubatan dan peralatan untuk saya serahkan kepada dua kumpulan sukarelawan siswa di Song.

Selesai Dr Ayush, Cikgu Fakhrul dan Runiy bergerak kembali ke Batang Maro. Saya bergerak ke ruang teksi yang berbaris menunggu penumpang. Sepanjang perjalanan sekitar 45 minit ke Sibu Wharf untuk bertemu Ryan, banyak juga yang saya sembangkan bersama-sama pemandu teksi itu.

Dia menceritakan pengalamannya sebelum ini sebagai pemandu bas ekspres. Evolusi pembangunan yang rancak telah memendekkan perjalanan selain memberi keselesaan kepada keseluruhan rakyat. Sebagai contoh, sebelum ini dari Sibu ke Miri memakan masa sehari setengah, telah berjaya disingkatkan kepada 6 jam.

Ketibaan saya di Sibu Wharf telah disambut oleh Ryan yang baru beberapa minit tiba dari Song. Suasana di sini tidak sesibuk seperti hujung minggu, yang pernah saya alami sebelum ini. Jam 12.45 petang, kami menaiki boat ekspres Bahagia ke Song. Tepat jam, kami bergerak untuk perjalanan 2 jam dan jarak hampir 90km. Akhirnya, kami tiba di jeti Song. Laluan yang sama ke Kapit membuatkan saya kembali teringat pengalaman perjalanan saya dan 20 sukarelawan siswa sebelum ini ke Kampung Tunoh. Semoga projek susur gajah yang diusahakan dua tahun terdahulu terus memberikan manfaat kepada adik-adik pelajar SK Tunoh.

Setibanya di jeti Song, kami menaiki van melalui pekan Song ke SK Nanga Temalat yang memakan masa 15 minit. Jelas, begitu cantik jalan yang baru siap dibina sekitar ‎setahun itu yang melancarkan lagi perjalanan kami. Kami melintasi beberapa pejabat kerajaan namun yang menarik perhatian saya ialah bangunan tersergam indah, Klinik Kesihatan Song dan Balai Bomba dan Penyelamat Song.

Klinik ini menjadi nadi utama masyarakat sekitar untuk mendapatkan rawatan namun agak lengang semasa saya melaluinya. Balai Bomba itu dikhabarkan mula beroperasi Mac ini. Semoga pembinaan ini memberikan manfaat dan jaminan keselamatan kepada penduduk sekitar.

‎Sebaik tiba di Nanga Temalat, saya terus ke sekolah bagi meninjau para sukarelawan. Sekitar jam 3.30 petang, semua sukarelawan sedang mengajar fun learning di kelas intensif. Saya disambut sahabat saya Al-Farid. Beliau bercerita mengenai projek mengecat dewan makan yang telah mereka selesaikan pagi tadi.

MISI BAIK SARAWAK

Kemudian saya dan Al-Farid ke bilik guru untuk bertemu Encik Sabaruddin, Penolong Kanan HEM SK Nanga Temalat. Beliau berkongsi mengenai pencapaian sekolah dan mengenai pembangunan sekolah. Hampir 30 minit, begitu banyak input yang diberikan. Kesungguhan guru-guru dan pentadbir di sini berjaya menjulang Daerah Song sebagai daerah terbaik 2 tahun berturut-turut dalam ujian UPSR negeri Sarawak.

Jam 4 petang kelas intensif berakhir dan semua pelajar telah ke padang bagi melakukan persediaan bagi kejohanan MSSD Song yang menjelang tiba. Pelajar tahap satu bersukan bersama-sama para sukarelawan siswa. Ada yang bermain bola baling, dan ada yang bermain bola sepak. Keakraban mereka yang baharu bertemu sepanjang sesi bersukan itu telah menjelaskan bahawa konsep immersion yang menjadi teras YSS telah dihayati oleh para sukarelawan siswa dengan begitu pantas.

Sedang rancak bermain, sekitar jam 5.30 petang akhirnya bumi Nanga Temalat basah menerima rahmat hujan. Hujan turun agak lebat dan semua sukarelawan siswa pulang ke rumah dan pelajar pulang ke asrama mereka.

Melangkah masuk ke rumah panjang Aut membuatkan saya kagum melihat keindahan dan kebersihan kawasan tuai rumah ini. Saya berkenalan dengan beberapa sukarelawan siswa yg tidak saya kenali kerana menguruskan PDT di IPG Rajang tempoh hari. Saya melihat di hujung rumah ada sepasang suami isteri yang agak berusia melayan kerenah cucu-cucu mereka.

Suasana itu menarik minat saya untuk mengenali dan menyapa mereka. Saya berbual dengan keluarga di pintu 2 dan mereka begitu mesra melayan saya. Barulah saya tahu pak cik itu merupakan satu-satunya keluarga Islam dalam rumah panjang ini dan merupakan seorang pesara tentera. Beliau baru setahun lebih menjalani pembedahan jantung di Hospital Umum Sarawak kerana 4 injapnya telah tersumbat. Selepas pembedahan, beliau mengambil masa 3 bulan untuk pulih dan kini berulang alik ke Klinik Kesihatan Song untuk pemeriksaan berkala setiap bulan. ‎Tahap kesihatannya bertambah baik kini.

Beliau memaklumkan juga bahawa kebanyakan anak daripada 23 pintu rumah ini telah berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Kini kebanyakan mereka merantau dan berkhidmat bukan hanya di seluruh negeri Sarawak bahkan seluruh Semenanjung. Beliau sekeluarga menghidangkan saya teh O panas dan biskut yang cukup menghangatkan perbincangan dan badan tatkala hujan masih turun.

Selepas hampir 40 minit berbual, saya meminta izin utk menguruskan diri. Usai maghrib dan isya secara jamak, saya di bawa oleh Awien, sukarelawan siswa dari UKM bertemu dengan seorang senior beliau, Ujang yang telah berkonvo tahun lalu. Ujang yang menuntut di UKM dalam bidang sains sukan itu, baru seminggu memulakan tugas interim sebagai guru PJK di sekolah lama beliau, SMK Song. Selepas berbual sekitar 15 minit saya meninggalkan beliau untuk menikmati makan malam.

Sekitar jam 8 saya melihat para sukarelawan mengajar kanak-kanak rumah ini yang tidak menetap di asrama menyelesaikan tugasan harian mereka, selain mengajar anak-anak itu berbahasa Inggeris dengan cara yg menarik seperti nyanyian dan menggunakan gambar rajah. Ibu bapa dan keluarga turut berkumpul bersama-sama melihat usaha sukarelawan siswa mengajar anak dan cucu mereka.

Selepas sejam setengah mengajar, perbincangan dan post mortem diadakan oleh para sukarelawan. Habis itu saya mengambil peluang sekitar 10-15 minit utk berkongsi harapan dan pengalaman saya dari misi sebelum-sebelum ini agar mereka dapat meneruskan graf menaik pencapaian misi YSS. Para sukarelawan begitu ‎positif dan komited untuk menjayakan misi ini.

Saya doakan mereka berjaya memastikan kejayaan misi YSS. – SARAWAKVOICE.COM