Gangguan bekalan elektrik di Kuching, lebih sejuta dijangka terjejas

KUCHING: Lebih sejuta penduduk Kuching dan beberapa kawasan di bahagian selatan Sarawak akan terus berhadapan masalah gangguan bekalan elektrik sehingga selewat-lewatnya Jun depan, berikutan kerja-kerja naik taraf sistem grid yang ada sekarang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Datuk Torstein Dale Sjotveit, gangguan ini tidak dapat dielakkan memandangkan keperluan untuk memasang laluan transmisi generasi baharu ini amat mendesak.

” Ada antara talian transmisi ini berusia 30 tahun, terutama dari Lachau ke Kuching, ” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya, di Menara Ishtimus dekat sini.

Torstein menjelaskan, gangguan ini bagaimanapun akan bersifat sementara sehingga projek ini siap sepenuhnya.

Projek naik taraf bernilai RM2.7 bilion ini akan menukarkan kapasiti transmisi elektrik daripada 275kV yang ada sekarang kepada 500kV, yang dijangka dapat mengurangkan masalah gangguan bekalan tenaga pada masa depan.

” Tiga pakej yang masih dalam proses untuk disiapkan adalah dari Similajau ke Mapai, Mapai ke Lachau dan transmisi dari Mapai ke Oya.

” Kesemua projek ini sudah lebih 80 peratus siap dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Mei,” katanya.

Pada masa yang sama kata Torstein, kerajaan masih berunding dengan beberapa pemilik tanah, bagi menyempurnakan pembinaan 994 menara untuk laluan talian transmisi generasi baharu ini.

Difahamkan sebanyak 2,048 pemilik tanah terlibat dalam proses ini, dengan 19 daripadanya masih enggan membenarkan pajakan terhadap tanah mereka.

” Berhubung isu ini, kami percaya perkara tersebut akan dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan keseluruhan projek ini akan siap menjelang Jun depan,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM