Warga Indonesia mabuk di pub, maut dibelasah 5 lelaki

BINTULU: Gara-gara berlaku salah faham dalam keadaan mabuk, seorang lelaki warga Indonesia maut dipercayai dibelasah sekumpulan lima lelaki dalam kejadian di belakang sebuah kedai di Tanjung Batu di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa Agus Suheda, 21 yang bekerja sebagai buruh binaan maut akibat cedera parah dibelasah.

Sumber berkata, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang lelaki di belakang sebuah kedai di pusat komersial di Tanjung Batu, di sini.

“Lelaki itu menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat lelaki terbabit.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub berhampiran dengan sekumpulan lima lelaki. Kumpulan terlibat mengejar mangsa hingga ke belakang bangunan berkenaan.

“Mangsa yang juga pengunjung pub dipercayai dipukul dengan batu oleh lima lelaki,” katanya.

Katanya, akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami luka parah di sebelah kanan kepala.

Ketua Polis Bintulu Superintendan Zailanni Ami berkata, sepasukan anggota polis telah menangkap seorang lelaki warga tempatan untuk siasatan kes ini, berusia 29 tahun.

“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada rampasan seketul batu yang dipercayai digunakan dalam kejadian dibuang di dalam tong sampah di belakang sebuah kedai.

“Suspek akan direman hari ini. Polis sedang berusaha mengesan suspek lain yang turut terbabit dalam kejadian itu.

“Punca kejadian mabuk dan selisih faham di dalam pub. Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM