Wan Azizah; Jangan heret Malaysia dalam kancah perang Syria

KUALA LUMPUR; Ketua pembangkang menasihati kerajaan agar tidak terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan di negara bergolak, Syria.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  menyatakan kebimbangannya  kerana langkah diambil  Putrajaya berisiko dan memberikan kesan negatif dari segi geopolitik kepada imej Malaysia.

Baru-baru ini,  media antarabangsa melaporkan tentera Malaysia antara terbabit dalam siri latihan bersama 19 negara lain, termasuk Arab Saudi.

Mereka dilaporkan berkumpul di utara Arab Saudi bagi melancarkan operasi ketenteraan yang disifatkan paling penting di rantau itu.

“Saya menggesa agar Putrajaya mengkaji cara terbaik untuk mengundur dari situasi yang memasukkan Malaysia ke dalam kancah peperangan di Syria,’katanya dalam satu kenyataan, semalam.

“Tindakan ketenteraan yang dipelopori Arab Saudi bakal mendatangkan impak geopolitik yang cukup negatif, bukan saja dari segi keselamatan di rantau Timur Tengah, tetapi pendirian neutral Malaysia selama ini,” katan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Ketua pembangkang itu mendesak kerajaan berundur daripada sebarang aktiviti berkaitan peperangan Syria, khususnya yang tidak menggunakan saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pada masa yang sama, Malaysia perlu berhenti daripada menyertai sebarang latihan ketenteraan berkaitan Syria, terutama yang tidak menggunakan saluran PBB,” katanya.

“Peperangan bukanlah perkara yang mudah mahupun murah, dan tatkala ekonomi Malaysia tidak begitu sihat serta dibelenggu pelbagai masalah dan skandal kepimpinan sedia ada, langkah ketenteraan di Timur Tengah tidak patut diambil kira selagi jalan penyelesaian melalui meja rundingan belum berakhir,” katanya.

Perang saudara di Syria telah mengorbankan lebih daripada 200,000. Sebanyak 6.5 juta orang terjejas kehidupan mereka, mengikut anggaran PBB, dengan 3 juta menjadi pelarian ke negara jiran.

Seramai 1.14 juta lari ke Lebanon, 815,000 ke Turki, dan 608,000 ke Jordan. Mengikut Duta Amerika Syarikat ke Iraq Stuart Jones, seperti dipetik Al Arabiya, dianggarkan  sekurang-kurangnya 5,000 pejuang terkorban dalam perang yang berlarutan itu setakat ini.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini dan kemelut politik negara, Putrajaya sewajarnya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan peperangan Syria, kata beliau.

Menurut  beliau, Malaysia Malaysia perlu tegas dan proaktif mengesyorkan langkah rundingan dan perbincangan untuk mencapai perdamaian di Syria dan Timur Tengah. 

Namun, ia juga perlu mencari jalan lebih proaktif iaitu menerusi rundingan bagi mencari perdamaian di negara yang berdepan konflik perang itu.

“Hanya penyelesaian politik melalui meja rundingan dapat mencapai perdamaian yang lebih mampan dan berkekalan,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM