KUCHING:  Mengaibkan dan menghina. Dalam usaha terdesak untuk meraih undi dan mendapat dana bagi kempen pilihan raya negeri April nanti, DAP mengambil tindakan mengeluarkan video kempen.

Namun, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung berpendapat, video bersifat parodi bertajuk “Dewa Kemakmuran: Edisi Khas” itu telah  menghina dewa yang dianggap membawa kekayaan kepada masyarakat Cina sebagai pengemis dengan poster tertulis ‘Cari Makan’ dan ” 失业” dalam bahasa Cina yang bermaksud ‘hilang pekerjaan’.

Video itu dimuat naik melalui Youtube, kelmarin.

Dalam video itu, Pak Arab ditunjukkan menghulurkan derma ke dalam mangkuk pengemis tersebut. Video itu menampilkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Tony dalam video itu, menyatakan, “Biar Sarawak menjadi batu loncatan untuk perubahan besar bagi Malaysia.”

Dalam satu babak  juga ditunjukkan orang ramai lari kepada Pak Arab untuk mendapatkan duit yg seperti duit yang dibakar untuk orang mati.

“Kedua-dua ahli parlimen DAP tersebut  sendiri yang berlakon dalam video itu ialah orang Cina dan seharusnya lebih memahami dan menghormati kepercayaan orang Cina, terutama berkaitan sambutan Tahun Baru Cina,” kata pakar politik Cina itu.

“Ini seolah-olah mengundang nasib malang kepada orang Cina sendiri walhal masyarakat Cina sentiasa mengharapkan setiap tahun baharu, lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya,” jelas Lee lagi.

Bagi pensyarah kanan itu, “gurauan mereka betul-betul sudah melampau.”

“Saya khuatir ia memberikan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia bahawa begitulah kebudayaan masyarakat Cina,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM