SIBU: Tiga kerusi majoriti Cina di Sibu menjadi pertaruhan penting bagi Barisan Nasional (BN), justeru, ia mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan kembali kerusi itu daripada genggaman DAP, kata pemerhati politik Sarawak.

Tiga kerusi yang perlu direbut kembali daripada DAP ialah Pelawan, Dudong, dan Bukit Assek.

Bukit Assek dimenangi pengerusi DAP negeri mendiang Wong Ho Leng, dengan 8,827 undi majoriti dalam pilihan raya negeri 2011.

Pelawan ditakluki Wong Kee Woan dengan majoriti 6,391 undi, manakala Dudong hanya dimenangi dengan majoriti 317 undi oleh Yap Hoi Liong.

Sementara itu, bagi kerusi Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh, menang dengan majoriti 1,808 undi.

Jika Wong bertanding lagi di kerusi ini, dijangka, laluan beliau adalah sukar, dengan kemungkinan berlaku sabotaj daripada SUPP, kata pemerhati itu lagi.

“Harapan terbaik BN adalah bagi kerusi Dudong asalkan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara Parti  Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Bersatu Rakyat (UPP). Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru, pasti DAP meraih keuntungan,” kata pemerhati politik.

Bagi Bukit Assek dan Pelawan, “tidaklah terlalu mudah bagi BN untuk merampas kerusi itu, apalagi jumlah majoriti diperoleh DAP pada pilihan raya ke-10 adalah agak tinggi. BN perlu sentuhan keajaiban dan kerja keras untuk memenanginya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dijangka hadir bersama para pemimpin lain dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Sabtu ini.

Majlis itu walaupun biasa diadakan bagi meraikan perayaan penting masyarakat Cina, tetapi untuk tahun ini, dianggap mempunyai kepentingan yang tersendiri.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Sri Wong Soon Koh, semalam dalam kenyataan kepada media berkata,  “kehadiran ketiga-tiga pemimpin penting itu merupakan gambaran jelas, bahawa mereka sayang dan prihatin terhadap rakyat Sarawak.”

“Tidak dapat ditolak, penganjur juga mempunyai agenda politik untuk membujuk masyarakat Cina agar mengundi calon BN dalam pilihan raya nanti. Itu merupakan peluang terbaik untuk mereka bersemuka dengan jumlah orang Cina yang ramai meskipun majlis itu turut dihadiri etnik lain,” kata pemerhati itu. Majlis itu dijangka dihadiri 50,000 orang.

Majlis anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan kerajaan negeri itu, diserikan pelbagai acara, termasuk tarian singa, persembahan nyanyian dan pertunjukan fesyen. – SARAWAKVOICE.COM