MIRI: Dua pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa digunakan untuk membantu kerja-kerja pemadaman kebakaran hutan berhampiran ILP Kuala Baram dekat sini.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Farhan Sufyan Borhan, penggunaan pesawat tersebut bertujuan membantu kerja-kerja pemadaman secara lebih pantas dan meluas.

Farhan menjelaskan, kebakaran yang bertompok-tompok tersebut dipercayai bermula daripada sekumpulan pemburu yang membuat api berhampiran kolam air di dalam hutan.

” Faktor cuaca yang kering dan angin kuat menyebabkan api merebak begitu pantas,” katanya.

Jelas Farhan, bagi mengekang kemaraan api, pasukan bomba terpaksa menggali parit dan membuat “fire break”.

” Tindakan pantas ini, termasuk menggunakan pesawat Bombardier membolehkan jarak kawasan terbakar dikecilkan di bawah 1000 ekar,” katanya.

Operasi menggunakan pesawat ini jelasnya, amat efektif kerana dapat melakukan 30 kali pemadaman dengan kapasiti 6000 liter air pada setiap penerbangan.

” Keluasan pemadaman untuk operasi ini dalam 1300 ekar,” katanya.

Sehingga semalam, 35 anggota bomba distesenkan di lokasi tersebut bersama-sama dua jentera termasuk trailer dan dua pam angkut.

” Seramai 12 anggota APMM terlibat manakala 35 pekerja NAIM turut membantu dengan dua jengkaut,” katanya.

Kata Farhan, halangan api bertompok-tompok di kebanyakan tempat dan gambut yang terbakar menyebabkan keadaan berjerebu sekitar 50 IPU.

” Insya-Allah keadaan masih dalam kawalan,” tambahnya. – SARAWAKVOICE.COM