Kamek Miak Sarawak dikecam

KUCHING: Media Sarawak kecoh sejak semalam apabila dituduh gagal membuat liputan meluas berkaitan tragedi banjir yang melanda Sarawak.

Tuduhan tersebut dilakukan oleh pemilik akaun facebook Kamek Miak Sarawak kononnya media utama, terutamanya nasional lebih mengutamakan berita “jerawat” dari tragedi banjir di negeri itu.

Malah difahamkan, pemilik akaun turut membidas stesen-stesen tv nasional hanya memberi liputan sedikit mengenai banjir yang berlaku, berbanding sewaktu Kelantan dan Terengganu dilanggar bah besar.

Seorang pengamal media, Salfian Nawawi dipetik berkata, tindakan admin Kamek Miak Sarawak itu kurang beretika kerana sanggup memburukkan media lain demi menaikkan rating pembacanya.

” Apa yang hebat sangat dengan Kamek Miak Sarawak kalau maklumat yang mereka dapat itu diperoleh daripada akaun facebook orang lain?

Bagi wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang enggan diketahui, perbuatan admin Kamek Miak Sarawak itu dilihat begitu biadap.

” Mereka berani kerana berlindung atas nama Kamek Miak Sarawak, dengan harapan tidak dikenali.

” Tetapi kami sudah mengenali kumpulan ini yang turut bertugas di beberapa agensi kerajaan,” katanya.

Jelasnya, tugas sebagai wartawan sejati bukanlah duduk enak di pejabat dan menjadi “keyboard warrior”.

” Semua wartawan bertungkus-lumus pada waktu tragedi ini kerana air pasang berlaku pada lewat petang dan awal pagi.

” Kebanyakan mereka berada di lokasi tragedi ketika orang lain nyenyak tidur , dan berhadapan dengan kelaparan, risiko keselamatan dan macam-macam lagi.

Ada jurugambar media nasional tambahnya, malah terperangkap dalam banjir hingga terpaksa tidur di dalam kereta.

” Tidak cukupkah itu untuk menyatakan komitmen media Sarawak?”

Begitu juga dengan laporan media, hampir semua media nasional termasuk tv melaporkan kejadian banjir ini, baik pada waktu utama, atau sebagai tajuk utama.

” Memang tidak setiap hari jadi tajuk utama tetapi memadai bahan tersebut disiarkan.

Setiap hari katanya, pelbagai kisah banjir disiarlan daripada pelbagai sudut, bagi menghidangkan cerita yang tidak basi.

Seorang lagi wartawan nasional berkata, tidak wajar usaha mereka diperlekeh sebegitu memandangkan merekalah yang berada di lokasi kejadian bagi memberikan gambaran sebenar.

” Sedangkan wartawan facebook hanya duduk goyang kaki, dengan berkongsi gambar atau maklumat milik orang lain tanpa rasa bersalah dan beretika.

” Sehubungan itu, pengendali akaun facebook seperti itu harus menyelidik sebelum membuat tuduhan.”

Berdasarkan tinjauan Sarawak Voice.com, Berita RTM, Buletin Utama, Buletin Awani dan Berita Al Hijrah menyiarkan bencana ini hampir setiap hari manakala setiap akhbar nasional memuatkan sekurang-kurangnya dua berita sehari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Nor Hisham Mohamad pada petang tadi malah memberitahu, prestasi media di Sarawak amat cemerlang.

“Saya tolak tuduhan tidak berasas seperti itu kerana dalam setiap operasi kita, media datang memberi sokongan.

” Malah media selalu mengemaskinikan apa jua berkaitan banjir, sama ada statistik mangsa pemindahan, tempat berpindah, arahan terkini sekretariat mahupun pengumuman daripada pemimpin.

Oleh itu, orang ramai harus menolak tanggapan dan persepsi mengelirukan seperti ini, katanya. – SARAWAKVOICE.COM