KUCHING: Banjir di seluruh Sarawak terus reda apabila hanya tujuh pusat pemindahan dibuka sehingga jam 6 petang tadi.

Menurut Sekretariat Bencana Negeri, daripada jumlah itu hanya 1,538 mangsa daripada 483 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan, dengan kesemuanya terletak di Bahagian Serian.
Bagi Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Nor Hisham Mohamad, banjir pada kali ini unik kerana berlaku di kawasan hulu sungai, dan pada kali ini, mengambil masa untuk surut.
” Ia menyebabkan banyak kawasan terputus hubungan seperti di Puncak Borneo, Bau dan hulu Serian,” katanya selepas melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter bomba, Mi 17 di sekitar kawasan terjejas.
Tinjauan udara itu jelasnya, bertujuan mengenal pasti tempat-tempat pendaratan helikopter bagi tujuan penghantaran bantuan, jika hubungan terputus.
” Kami masih memikirkan kaedah terbaik, kerana kebanyakan kawasan yang disurvei mengalami masalah ditenggelami air dan permukaannya lembut,” katanya.
Jelasnya lagi, penggunaan bantuan udara adalah pilihan akhir, dan dalam konteks bencana beberapa hari lalu, kenderaan berat milik jabatan itu masih boleh diaturgerakkan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri turut menggerakkan program pascabanjirnya sejak semalam, terutama di Daerah Kuching dan Bau.
Menurut Ketua Bomba Zon Kuching, Tiong Ling Hii, inisiatif ini digerakkan sebagai bantuan kepada penduduk kampung membersihkan kawasan-kawasan jalan raya, dan juga parit yang mengandungi banyak sampah-sarap dan rumput yang terperangkap selepas banjir surut.
” Kita juga memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah jika mereka memohon bantuan, kerana kita mahu anak-anak ini ke sekolah segera,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di Kampung Batu Kitang pagi tadi.
Tiong menambah, pasca banjir ini adalah kali kedua dilakukan dalam tempoh seminggu di kawasan tersebut.
” Kita sedia maklum, banjir dalam tempoh dua minggu lepas pun, juga sangat teruk hingga menjejaskan kawasan ini dan kita juga mengaturgerakkan bantuan,” jelasnya.
Bagi Bolhassan Daud, Ketua Kaum Kampung Batu Kitang, beliau bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan pihak bomba.
” Ia meringankan sedikit derita kami, kerana kebanyakan rumah di sini dimasuki lunpur setelah air naik sehingga lima kaki,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM