50 sentuhan ajaib Adenan

KUCHING: Lima puluh sentuhan Tan Sri Adenan Satem yang memukau rakyat!

Sejak menjadi Ketua Menteri pada Februari 2014, beliau telah melaksanakan 50 prinsip dan keputusan meliputi pelbagai bidang, meninggalkan kesan positif terhadap kehidupan rakyat.

Populariti Ketua Menteri kelima itu mencanak, sebahagiannya kerana dasar prorakyat beliau.

Majlis Profesor Negara (MPN), dalam satu kajian meliputi semua etnik di seluruh Sarawak, Oktober lalu, mendapati populariti Adenan mencecah 84 peratus.

Semua dasar beliau diterima baik oleh semua lapisan masyarakat, di bandar dan luar bandar, mengikut kajian itu sebahagiannya kerana langkah dan dasar transformasi beliau.

“Namun kita tidak pasti sejauh mana semua itu diterjemahkan ke dalam bentuk undi,” penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ahi Sarok yang juga ahli penyelidik terbabit.

Beliau yang juga pensyarah sains politik di Universiti Malaysia Sarawak tidak meragui bahawa Adenan kini berada di puncak.

Dalam usaha untuk menyebarkan kepada rakyat jelata, pihak kerajaan telah mencetak risalah berkenaan untuk diedarkan kepada orang ramai termasuk pada Program Sejiwa Senada.

Program itu telah berjaya menarik perhatian ramai, dengan jumlah pengunjung di Miri 80,000, Sibu 180,000, dan Sarikei 120,000.

Risalah berwarna itu menyenaraikan kesemua 50 prinsip dan keputusan yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

“Dari segi komunikasi politik, ini strategi yang sesuai dan berkesan. Orang ramai akan dapat meneliti langkah yang telah diambil oleh beliau,” kata seorang pakar komunikasi politik yang enggan disebut nama.

Risalah itu, menyenaraikan langkah dan prinsip terbabit kepada 13 kategori. Antaranya, pemansuhan dan pengurangan caj, komitmen Petronas,  transformasi luar bandar, pengurusan dan penguatkuasaan hutan, Sarawak harmoni, dan tanah di Sarawak. – SARAWAKVOICE.COM