Terima kritikan dengan semangat betul, kata Rafidah kepada kerajaan

KUCHING: Tan Sri Rafidah Aziz bertindak balas terhadap komen Timbalan Perdana Menteri berkaitan dengan ada pemimpin yang bersikap seperti gila talak.

Mantan Ketua Wanita UMNO itu menyoal: “Sejak bilakah pandangan yang berbeza, dan tindakan mengemukakan soalan dianggap sebagai antikerajaan?” tanya Rafidah dalam komen terkini yang dimuatkan dalam Facebook beliau.

Rafidah  mengingatkan para pemimpin kerajaan sekarang tentang kisah maharaja yang tidak memakai sebarang pakaian.  Kata beliau, seseorang itu boleh mempunyai ramai “kawan” yang hanya menyatakan sesuatu yang mahu didengar, dan kemudiannya menanggung akibatnya.

“Tidak, saya sama sekali tidak mempunyai minat untuk kembali aktif dalam politik atau kerajaan,” kata mantan Menteri Perdagangan dan Industri itu.

Namun, Rafidah berkata, ini bukan bermakna, sebagai rakyat biasa beliau tidak boleh menyuarakan pendapatnya, terutama jika isu itu berkaitan dengan kepentingan ramai.

“Ingat? Adakah kerana saya, seperti ramai yang lain, keliru, dan tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku. Kerana keputusan diubah dalam waktu singkat”

Beliau merujuk dasar dan keputusan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh sehari selepas pemeteraian Perjanjian Persefahaman  (MoU) antara kerajaan Malaysia dengan Bangladesh di Dhaka.

Rafidah menyifatkannya sebagai “flip-flop”.

Pembekuan itu diambil ekoran kritikan banyak pihak tentang dasar tersebut, dan kesan buruk jika 1.5 juta pekerja Bangladesh dibawa ke negara ini.

Mengikut angka rasmi kerajaan, kini terdapat 282,287 pekerja Bangladesh berdaftar di negara ini.

“Saya berharap individu tertentu dalam kerajaan tidak memberi penjelasan dan pandangan yang bercanggah dengan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan.

“Dan kita perlu belajar menerima komen, pandangan, kritikan membina dengan semangat yang betul. Ia diberi dengan niat baik, digerakkan oleh rasa cinta terhadap negara, dan tidak mahu melihat kerajaan terheret ke dalam masalah yang tidak wajar,” katanya.

“Jangan kata pada masa silam, semuanya diterima begitu saja. Itu tidak benar. Saya tak pernah membenarkan diri saya hanya sebagai orang yang hanya bersetuju dengan sesuatu,” kata Rafidah lagi.

Bekas pemimpin kanan UMNO itu berharap agar pemimpin kerajaan menyampaikan sesuatu dasar dan langkah kerajaan dengan jelas.

“Tolong minta pandangan semua pemegang taruh berkaitan sebelum membuat keputusan. Tolong pastikan hanya individu atau menteri tertentu sahaja umumkan sesuatu perkara. Ini semua berkaitan dengan tanggungjawab bersama.”

“Kita bercakap tentang legasi masa silam, para pemimpin yang telah membolehkan negara ini dipandang tinggi. Biar kita terus membina negara ini atas legasi berkenaan.” katanya. – SARAWAKVOICE.COM