Salleh Keruak: Pakatan Harapan sama dengan Pakatan Rakyat

KUCHING:  Pakatan Harapan tidak ubah seperti Pakatan‎ Rakyat dan tiada jaminan ia tidak akan menerima nasib seperti bekas pakatan pembangkang sebelum ini.

“Pakatan Harapan masih bergerak atas asas yang sama dengan Pakatan Rakyat,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata,   walaupun parti dalam gabungan Pakatan Harapan – Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), cuba menunjukkan ia adalah berlainan dan lebih baik daripada Pakatan Rakyat, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Tiada jaminan Pakatan Harapan tidak akan menerima nasib sama seperti Pakatan Rakyat,” kata menteri yang berasal dari sabah itu.

Pakatan Rakyat lahir pada 1 April 2008 selepas Pilihan Raya Umum 2008, tetapi dibubarkan Jun tahun lepas apabila Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan pakatan itu tidak lagi wujud sebagai perikatan.

Pakatan Rakyat dianggotai  PKR, DAP dan PAS.

Mantan Ketua Menteri Sabah  zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, perdebatan terbuka antara DAP dan PKR mengenai penyingkiran dua wakil PKR daripada syarikat milik kerajaan Pulau Pinang membuktikan parti itu (DAP) memutuskan apa yang berlaku.

“Tapi itu bukan bahagian yang paling menarik. Ia menjadi semakin menarik apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata DAP memutuskan apa yang berlaku di negeri itu dan anggota Pakatan Harapan harus akur,” kata beliau dalam catatan terbarunya dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my‎.‎

Bagaimanapun, kata Salleh, “apabila menyentuh mengenai Pulau Pinang, DAP tidak beroperasi atas persetujuan bersama, sebaliknya atas apa yang DAP mahu.”

Sebelum dilantik ke jawatan sekarang Salleh merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, dan begitu kuat menangkis serangan kritikan terhadap Perdana Menteri.

“Pada dasarnya, Lim Guan Eng kini berkata DAP memutuskan apa yang berlaku di Pulau Pinang dan PKR perlu mematuhi keputusan DAP. Lim Guan Eng mengingatkan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Azmin Ali, ia sama seperti keputusan PKR menyingkirkan (Tan Sri) Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

“Lim Guan Eng secara tidak langsung mengesahkan keputusan menyingkirkan Khalid sebagai Menteri Besar adalah keputusan PKR, bukannya Pakatan Rakyat,” kata Salleh yang aktif memberi komen dalam blog beliau. – SARAWAKVOICE.COM