Peter Pau calon SUPP di Padungan

KUCHING: Setelah pelbagai pertimbangan, akhirnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meletakkan Peter Pau sebagai calon parti untuk membawa bendera Barisan Nasional (BN) di Padungan.

Nama Pau yang juga Setiausaha Publisiti SUPP Cawangan Kuching sejak 2013 mula dikaitkan sebagai calon berpotensi, bersama-sama seorang lagi Peter, yang juga Naib Pengerusi cawangan tersebut, Peter Pui.

Kerusi Padungan sebelum ini hangat apabila Pengerusi SUPP cawangan itu, yang juga Naib Presiden SUPP Pusat, Datuk Lily Yong mencabar Presiden parti, Datuk Dr Sim Kui Hian bertanding di kerusi tersebut.

Ini untuk menguji kewibawaannya, memandangkan bekas calon di DUN Pending itu dikatakan berminat untuk bertanding di kerusi selamat; Batu Kawah atau Batu Kitang.

Padungan sebagai pusat komuniti masyarakat Cina sememangnya begitu berpengaruh dan ” berhantu”. Hanya yang kuat dan yang hebat sahaja dapat mempengaruhi masyarakat peniaga di sini.

Sim Kwang Yang atau SKY dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) merupakan antara nama besar di sini selain Song Swee Guan, yang pada suatu ketika pernah memegang Datuk Bandar Kuching Selatan.

Lily Yong malah menjadi “Yang Berhormat” kawasan ini untuk beberapa penggal sebelum tumbang di tangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dominuque Ng.

Pada tahun 2011, Ketua Pemuda SUPP, Alan Sim mewakili BN berusaha merebut kerusi itu namun calon muda DAP, Wong King Wei, menang besar dengan majoriti 7,884 undi.

Kini giliran Pau, 44 tahun, untuk menggugat kewibawaan King Wei.

Pau merupakan seorang jurutera elektrik dan ayah kepada tiga anak harus melalui jalan sukar bagi memenangi masyarakat Cina di kawasan ini.

” Tidak ada jalan mudah bagi Pau. Beliau harus memikirkan strategi yang terbaik bagi memenangi hati pengundi yang selama ini beranggapan SUPP sebagai parti yang bermasalah.

” Janji manis dan projek bukan sesuatu yang diukur oleh para pengundi di sini,” kata seorang penganalisis politik Cina yang enggan dikenali.

Yang penting katanya, adalah personaliti dan kewibawaan calon.

” Mereka tidak peduli akan gula-gula, kerana Kuching merupakan jantung negeri ini.

” Biar siapa pun yang diundi, pembangunan tetap berlaku,” jelasnya.

Kerana itu tegasnya, untuk menang, Peter Pau kini perlu menukar personalitinya agar lebih mempesona, memiliki aura dan dihormati komuniti Cina. – SARAWAKVOICE.COM