Mencari geisha, sushi dan keseronokan di Jepun

Ketika  meminta  seorang  rakan untuk menguruskan permohonan visa ke Jepun,  dia membayangkan  beberapa kesulitan yang bakal saya hadapi. Ya,  jika anda hendak pergi ke negara 128 juta itu, anda perlu mengemukakan sijil pernikahan, selain pernyataan kewangan bank.

Gambar hiasan

Tetapi, semua itu sebenarnya berbaloi, kerana Jepun bakal membuka mata anda dari banyak segi.  Kini, rakyat Malaysia tidak lagi diwajibkan mendapatkan visa sebelum dibenarkan menjejakkan kaki di Bumi Matahari Terbit itu.

Sesampai di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kansai, Osaka sesudah mengharungi  penerbangan  sejauh  5212 kilometer yang memakan masa sekitar enam jam, anda boleh memilih untuk menaiki bas atau kereta api. Perjalanan 50 minit ke Stesen Osaka, segera mengejutkan anda bagaimana stesen  pengangkutan serba moden  itu digabungkan dengan pusat beli-belah terkemuka yang  mengagumkan. Syarikat Hankyu yang mengendalikan satu daripada syarikat kereta api, juga menyediakan perkhidmatan bas dan feri, serta perhotelan dan perniagaan lain.

Apakah yang hebat tentang Jepun selain daripada keupayaannya untuk bangkit dalam waktu pantas sesudah menjadi padang jarak padang tekukur  selepas Perang Dunia Kedua ?  Jepun hancur musnah dari segi fizikal dan ekonomi selepas perang.

Semasa perang rakyatnya sanggup berkorban untuk negara dan maharaja. Selepas perang, rakyatnya menderita dan jatuh miskin. Namun, rakyat Jepun dengan disiplin dan  azam membara bekerja kuat untuk membina semula negara yang hancur musnah. Jepun mengalami pertumbuhan ekonomi luar biasa sejak pertengahan 1950-an.  

Pertumbuhan ekononminya mencecah 10 peratus pada dekad 1960-an dan 5 peratus pada dekad 1970-an. Jepun mengeluarkan banyak produk dan menjualnya ke negara asing. Kini Jepun mendukung peranan utama hampir dalam setiap bidang usaha antarabangsa.  Jepun telah mencapai kejayaan yang gemilang, dan sudah mencapai kekuasaan dan keagungan.

Jepun bukan hanya terkenal dengan makanan sushi, tempura, okonomiyaki atau persembahan kabuki, tetapi   kemodenan  dan kemajuan dari segi kota dan bandar, serta bidang teknologi dan perindustrian. Kemodenannya dapat disaksikan di hampir semua bandar terutama Tokyo, Osaka, Hiroshima,  Kobe,Fukuoka,  Nagoya atau Yokohama. Tempoh 15 hari yang ditetapkan dalam visa anda, tentu tidak memadai untuk mengenali Jepun, apatah lagi jika anda hendak mengembara dari kepulauan Kyushu di sebelah selatan ke Hokkaido di utara.

Central_OsakaMenyelusuri kota dan bandar berkenaan,  anda kagum bagaimana dalam waktu singkat Jepun dapat membangunkan dan memajukan  negara itu.  Kebanyakan bandar Jepun memang padat. Setengah daripada penduduk Jepun tinggal di tiga kota utama: Tokyo, Nagoya dan Osaka.  Sebanyak 27 peratus penduduknya tinggal di Tokyo dan kawasan sekitar.  

Disebabkan kepadatan penduduk dan nilai tanah yang begitu tinggi, apartmen dan rumah orang Jepun adalah kecil. Jadi, jangan hairan jika rakan Jepun anda tidak membawa anda ke rumah.  Mereka akan meraikan anda di restoran atau hotel.  Berderet-deret restoran yang menyediakan makanan Jepun di pelbagai kota. Anda terbayang, orang Jepun memang suka  makan di luar.

Jepun sebagai negara kesembilan paling ramai penduduk mengalami kadar  kelahiran menurun kerana hanya sekitar 1.1 juta bayi lahir setahun. Jepun mengalami masalah penuaan penduduk, dengan kini  20 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas, dan Jepun mempunyai penduduk berusia  seratus tahun ke atas sebanyak  46,000 orang.

Mengapakah kadar kelahiran merosot? Bagi rakyat Jepun, mempunyai banyak anak adalah sesuatu yang membebankan termasuk dari segi kewangan. Ibu bapa terpaksa membelanjakan banyak wang untuk tuisyen bagi memungkinkan mereka melanjutkan pelajaran ke kolej. Lagipun, semakin kurang yang mahu mendirikan rumah tangga. Jangka hayat rakyat Jepun begitu tinggi kerana gaya hidup sihat dan pemakanan mereka.

kereta api laju jepunSetahun selepas Malaysia dibentuk, sudah ada perkhidmatan kereta api laju dari Tokyo ke Osaka. Kini, perkhidmatan shinkansen atau kereta api laju  menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap dan pantas ke merata-rata kota, selain perkhidmatan kereta api bawah tanah . Tidak susah bergerak di Jepun kerana hakikatnya, kos pengangkutan tidaklah terlalu mahal. Masa perkhidmatan bas dan kereta api tepat seperti ditetapkan. Anda tidak perlu risau.  

Di dalam kereta api, anda dapati penumpang membaca bahan bacaan dan bermain dengan alat canggih. Anda tidak mendapati orang Jepun bercakap menggunakan telefon di dalam pengangkutan awam  kerana itu dianggap menceroboh ruang peribadi penunmpang lain.

Seperkara yang mengagumkan saya tentang rakyat Jepun adalah bagaimana mereka menjaga kecantikan dan kebersihan bandar. Sukar bagi anda untuk melihat sampah sarap  di mana-mana, termasuk di lorong belakang. Segalanya kemas. Jalan raya dan lorong diturap dengan baik, dengan menggunakan kualiti bahan yang bermutu tinggi.  

Tandasnya  begitu bersih dan langsung tidak beerbau, selain dilengkapkan dengan alat serba canggih. Tandas berkenaan dapat membersihkan segala yang perlu dibersihkan selepas anda melepaskan  hajat anda.  Segala jenis bunga dan pokok ditanam dengan kemas, begitu indah mata memandang.

Bagi saya, kebersihan, kekemasan dan kecantikan itu mencerminkan sikap dan nilai rakyat Jepun. Mereka begitu berdisiplin. Ketika hendak menyeberangi jalan, mereka didapati begitu mematuhi lampu isyarat walaupun ketika itu langsung tidak ada kereta yang lalu-lalang. Anda tidak perlu risau ketika melancong di Jepun. Tidak ada kes ragut berleluasa. Anda juga tidak perlu risau dengan Mat Rempit.  Kadar jenayah adalah rendah.

Some women in traditional dress on an Osaka street

Meskipun kadangkala berdepan dengan kekangan bahasa, tetapi itu bukan menjadi masalah besar. Orang Jepun bukan sahaja didapati begitu hormat kepada pelancong asing, tetapi amat bersedia untuk membantu. Ketika mula-mula sampai di Kyoto, misalnya saya bertanya kepada seorang lelaki tempat hotel yang saya hendak menginap. Beliau sanggup membawa saya ke depan pintu hotel walaupun letaknya sekitar  setengah km.

Berapa orangkah rakyat kita  yang sanggup berbuat demikian jika pelancong asing bertanya arah?  Orang Jepun akan cuba sedaya-upaya untuk membantu jika anda bertanya atau berdepan dengan masalah. Jika orang yang ditanya itu tidak dapat menyelesaikan masalah anda, dia akan cuba bertanya kepada orang lain sehingga mereka dapat menyelesaikan masalah anda.

 Ya, alangkah indahnya jika rakyat kita dapat mencontohi dan mengamalkan nilai murni rakyat Jepun itu. Inilah rahsia kejayaan Jepun.