KUCHING: ” Ia pengalaman yang luar biasa. Malah sokongan yang saya terima juga luar biasa,” kata Zulazhar Sheblie atau nama gelarannya Apai apabila ditanya tentang pengalamannya terperangkap dalam suasana banjir di Kampung Rantau Panjang Ahad lalu.

Jurugambar media bersama The Star itu terperangkap apabila jalan ke kampung tersebut terputus hingga ke paras pinggang, hingga kenderaan salon yang diguna oleh Zulazhar tidak dapat melaluinya.

apaiZualzhar sebelum itu merakamkan aktiviti menyelamatkan mangsa banjir di kampung berkenaan oleh pasukan penyelamat, terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak.

Berita mengenainya kemudiannya dirakamkan oleh Sarawak Voice.com dan sehingga pagi ini mendapat hit yang luar biasa.

Menceritakan pengalamannya, Zulazhar berkata, setelah menyedari dirinya terperangkap, dia memaklumkannya kepada rakan-rakan yang melalui laman sosial whasapp dan facebook.

” Sokongan yang diterima amat luar biasa. Malah pihak bomba bersedia untuk menghulur bantuan.

” Saya menolak kerana saya bukan berada dalam keadaan bahaya, cuma kenderaan terperangkap dan saya tidak boleh meninggalkannya. Oleh itu saya nekad menunggu air surut,” jelasnya.

Cuma yang menjadi kebimbangan saya, tambahnya, adalah kehadiran ular dan buaya.

” Suasana gelap dan macam-macam boleh jadi.”

Kata Zulazhar, sehingga tengah malam keadaan tidak begitu sunyi kerana ada penduduk yang keluar masuk selain beberapa kenderaan besar turut melalui kawasan tersebut.

” Ini termasuk kenderaan tiga tan bomba, yang penyelamatnya turut berhenti bertanya khabar saya,” katanya.

Dengan keadaan perut yang lapar, yang beliau cuba untuk tidak fikirkan, Zualzhar cuba melelapkan mata di dalam kereta.

” Waktu sudah awal pagi. Saya terdengar bunyi orang berjalan mengharungi air. Apabila dilihat, saya dapati tiada orang.

” Bulu roma saya menaik. Fahamlah. Dahlah saya keseorangan di situ.”

Kejadian itu kata Zualzhar berlaku beberapa kali, dan beliau cuba untuk tidak memikirkannya. Saya memaksa diri untuk tidur.

Jelasnya, sekitar jam 5.30 pagi, setelah air di atas jalan surut hingga ke buku lali, Zulazhar menggerakkan keretanya meninggalkan lokasi tersebut.

” Selepas solat Subuh, perkara pertama yang saya lakukan adalah berkunjung ke kedai mamak berdekatan, dan makan dengan lahap,” ceritanya sambil gelak.

Zulazhar berkata, dia berterima kasih kepada semua rakan-rakan dan orang ramai yang begitu prihatin dan mengambil berat apabila berita mengenainya menjadi viral.

Sekitar jam 9 pagi semalam, Zulazhar kembali menjalankan tugasnya memburu cerita dan berita, terutamanya mereka yang menjadi mangsa banjir. – SARAWAKVOICE.COM

apai3