Pembangunan di Sarawak sering dianggap tidak semaju di Semenanjung. Selepas 53 tahun merdeka, adakah kita perlu tunggu setengah abad lagi untuk dapat berdiri sama tinggi dengan negeri maju di Semenanjung? Sampai bilakah Sarawak perlu terus berada di pinggiran, miskin, dan mundur? Itu pertanyaan yang dilontarkan sesetengah pihak.

Secara objektif, Sarawak telah banyak berubah. Transformasi banyak dicapai, tidak kira dalam bidang prasarana, ekonomi, pertanian, pendidikan atau sosial. Memang, masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi untuk menafikan, tiada langsung pembangunan, tentu tuduhan liar.

Pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi adalah  memberangsangkan. Sarawak membentangkan bajet negeri berdasarkan jangkaan hasil sekitar RM5.97 bilion untuk 2016.

Pertumbuhan KDNK Sarawak sebanyak 3.3 peratus, berbanding Malaysia 2.7 peratus, tentu sesuatu yang menggembirakan. Sarawak menyumbang sekitar 8 peratus kepada pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun lalu.

Siapa boleh nafikan kualiti hidup rakyat telah meningkat? Tidak kira di bandar atau luar bandar. Dengan komitmen padu para pemimpin negeri dan persekutuan, percayalah, kita pasti dapat melangkah jauh ke hadapan, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Sekitar 2.7 juta penduduk pelbagai etnik telah menikmati pelbagai manfaat  meliputi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi hasil pelaksanaan pelbagai dasar, strategi dan program pembangunan sosioekonomi dilaksanakan kerajaan selama ini. Di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, telah mengambil langkah konkrit untuk meredakan tekanan hidup, termasuk menurunkan tarif elektrik, menghapuskan tol, dan bercadang menghapuskan cukai pintu.  Sesungguhnya, sekitar 50 keputusan dan dasar yang diambil beliau setakat ini, adalah untuk kesejahteraan rakyat.

Dari segi perumahan, kerajaan negeri diperuntukkan 20,742 unit rumah mampu milik dibina di Sarawak dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11. Dengan langkah tersebut, dipercayai, sedikit sebanyak masalah perumahan dapat diatasi, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Antara kejayaan terbesar Sarawak, tentu mengurangkan kadar kemiskinan kepada sekitar 2.4 dan kemiskinan tegar hanya 0.9 peratus. Tentu ramai yang sudah lupa, 40 tahun lalu lebih separuh rakyat Sarawak dicengkam kemiskinan. Bukti terbaik, pendapatan purata bulanan, Sarawak ialah iaitu RM4,934, lebih baik berbanding beberapa negeri lain di negara ini.

Rom tidak dibina dalam satu hari. Ini realiti yang kita perlu terima. Para pemimpin Barisan Nasional telah meletakkan asas yang kukuh dari semua segi untuk memajukan Sarawak.  Dengan kestabilan politik dan keharmonian hubungan etnik yang terpuji di Sarawak, kita tentu dapat mencapai sesuatu yang lebih baik lagi pada tahun-tahun yang akan datang.  

Justeru, mandat perlu terus diberi kepada pemimpin yang telah memperlihatkan rekod terpuji. Kepemimpinan yang bertanggungjawab dan berintegriti seperti yang diperlihatkan barisan kepemimpinan negeri sekarang perlu disokong. Mereka merupakan pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

Kita tidak harus mudah terperdaya oleh golongan tertentu, termasuk pembangkang yang menyemai benih kebencian di jiwa rakyat, hanya kerana agenda politik sempit mereka. Kita tentu sedar, kawasan yang diwakili pembangkang khususnya DAP tidak  menampakkan perubahan yang bermakna. Program “Impian Sarawak” bertujuan hanya untuk mengelabui mata rakyat, kerana program itu lebih bersifat ‘touch and go’. Menyemarakkan dan memainkan sentimen hanya untuk memancing undi tentu tidak wajar.

Kita perlu gunakan kebijaksanaan, bukannya emosi dalam membuat pertimbangan politik. – SARAWAVOICE.COM