Biarkan profesor beri khidmat hingga berusia 65 tahun

PUTRAJAYA: Tempoh perkhidmatan profesor perlu dilanjutkan daripada 60 tahun sekarang kepada 65 tahun, bagi membolehkan mereka terus menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Majlis Profesor Negara (MPN) memohon agar kerajaan mempertimbangkan cadangan itu kerana  tempoh persaraan bagi seorang ahli akademik tidak boleh disamakan dengan penjawat awam lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Raduan Che Rose berkata, tempoh usia berkenaan sesuai kerana profesor masih aktif dan produktif.

Lagipun, untuk menjadi profesor bukan mudah. Sebelum menjadi profesor seseorang ahli akademik perlu diiktiraf kepakaran dan kesarjanaannya,

Jalan panjang terpaksa dilalui seseorang ahli akadmeik sebelum dilantik sebagai profesor.

Selepas dilantik menjadi pensyarah biasa, ahli akademik berkenaan perlu memohon untuk dinaikkan pangkat menjadi pensyarah kanan, dan seterusnya menjadi profesor madya. Setiap jawatan berkenaan mempunyai kriteria tertentu.

Antara perkara yang dinilai untuk kenaikan pangkat ialah dari segi penyelidikan, penerbitan, kesarjanaan, dan sumbangan kepada bidang kepakaran dan masyarakat.

“Namun, selepas mencapai usia 60 tahun, mereka terpaksa bersara, dan tidak dapat mengeluarkan pendapat,” katanya.

Raduan berkata: “Sekiranya umur persaraan dilanjutkan, tentu kita dapat mengurangkan kehilangan kepakaran dalam sektor pendidikan tinggi.”

Raduan berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perbincangan Meja Bulat, “Profesor Kontrak di Universiti Awam Malaysia”, di sini, semalam.

Pada masa ini, terdapat 2,254 profesor di negara ini, dengan 1,867 profesor berkhidmat di universiti awam, serta 387 di universiti swasta.

Daripada jumlah itu, lebih separuh daripada mereka berumur 55 tahun, katanya.

Raduan berkata seramai 507 profesor berstatus kontrak yang berumur 61 hingga 70 tahun, diambil sebagai tenaga pengajar di universiti awam.

Daripada jumlah berkenaan, 156 profesor tidak dilanjutkan kontrak berikutan langkah mengurangkan bajet pengurusan di universiti awam.

Seorang profesor yang enggan dikenali bersetuju dengan cadangan MPN itu, dengan menambah bahawa, usia menjadi ahli akademik selepas memperoleh PhD ialah 30 tahun, dan 35 tahun hingga 45 tahun menjadi profesor madya. Malah, ada yang mendapat jawatan profesor madya selepas berusia 50 tahun.

“Jadi, jika mereka dibersarakan daripada perkhidmatan hanya kerana usia mereka sudah mencecah 60 tahun, ini tentu amat merugikan,” kata beliau. – SARAWAKVOICE.COM