45 jam mencari mayat

SIBURAN: Kurang sembilan jam selepas beg sandang dan seliparnya ditemui, mayat korban pertama banjir di Sarawak berjaya ditemui petang tadi.

Mayat Judus Jali, 18 tahun dari Kampung Panchor Dayak, timbul ke permukaan Sungai Maang sekitar jam 6.16 petang tadi sekali gus menamatkan pencarian 45 jam oleh pasukan penyelamat.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, mayat mangsa dijumpai terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

” Ketika ditemui, mayat masih sempurna dan berpakaian penuh sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama-sama rakannya yang dikenali sebagai Jurien, 20 tahun dari Kampung Maang melewati jalan tersebut sekembalinya mereka dari Semariang atas urusan kerja.

Setibanya di laluan tersebut, yang ketika itu ditenggelami banjir, mangsa bergerak perlahan sambil memeriksa kedalaman air.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahinya apabila terjatuh ke dasar sungai lalu dihanyutkan arus deras.

Rakan mangsa cuba untuk menyelamatkannya tetapi gagal, sebaliknya dia sendiri terpaksa berpaut pada ranting kayu bagi mengelakkan daripada turut dihanyut arus.

Jurien bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh beberapa penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan, yang terletak kurang 100 meter dari SMK Tun Abdul Razak.

Mayat mangsa kini ditempatkan di Jabatam Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat.