Lari lintang-pukang ditahan tentera lengkap bersenjata

BAU: Impian dua lelaki untuk menikmati kemewahan hasil jualan kereta curi berkecai apabila mereka terserempak dengan sepasukan anggota tentera lengkap bersenjata di sempadan Sarawak-Kalimantan, lewat petang semalam.

Dua lelaki tersebut “putih tapak kaki” apabila pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dinaiki mereka kandas, ketika dalam usaha melarikan diri dari ditahan anggota tentera yang sedang melakukan rondaan terbabit.

Berdasarkan fakta kes, pasukan rondaan seramai enam orang daripadan Kompeni B 11 RAMD itu sedang dalam rondaan Op Serkap di kawasan ladang sawit Kampung Sebubuk sebelum mengesan akan kehadiran kenderaan terbabit sekitar jam 5.15 petang semalam.

Apabila kenderaan itu menghampiri 800 meter ke kawasan operasi, anggota tentera keluar dari persembunyian untuk menahan kenderaaan terbabit.

Terkejut dengan kehadiran anggota keselamatan itu, pemandu kenderaan cuba mengelak dan melarikan diri namun kereta tersebut terkandas dan tersangkut pada tanah becak.

Dua saspek berkenaan kemudian melarikan diri ke arah sempadan.

Setelah pemeriksaan dilakukan bersama pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, kenderaan tersebut disahkan sebagai kenderaan curi.

Op Serkap merupakan operasi yang dilaksanakan oleh pihak tentera bagi mengekang aktiviti-aktiviti haram di sempadan Sarawak dan Kalimantan. – SARAWAKVOICE.COM