Wanita Melayu: “Suamiku Bangla”

Puan Suria (bukan nama sebenar, berusia awal 30an) baru memulakan tugas di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung. Pada hujung minggu beliau mengambil peluang berkunjung ke sebuah pasar yang agak terkenal.

Apa yang unik mengenai pasar berkenaan ialah ramai usahawan atau peniaga terdiri daripada wanita. Di sebuah kedai yang menjual pakaian dan kain batik, Puan Suria melihat seorang pekerja Bangladesh sedang menyusun beberapa bungkus kain.

Puan Suria saja membuka mulut untuk memulakan perbualan. “Pekerja akak ke ni?”, tanya Puan Suria kepada seorang wanita, berusia sekitar 40-an yang sedang melihat skrin di telefon bimbitnya dalam kedai tersebut.   

“Tak. Ini suami saya”.  Puan Suria tidak sedikit pun menyangka jawapan seperti itu. Di Kampung asalnya di Johor, belum pernah kedengaran warga tempatan menikahi pekerja Bangladesh, tetapi yang kahwin dengan pekerja Indonesia, itu perkara biasa.

“Dulu suami akak Melayu. Tetapi pemalas. Buka kedai, tutup kedai…semua kite kena buat sendiri. Bukannya nak bantu kite.  Dah tu bila malam nak gomo kite pulok. Yang ni (suami baru) rajin”.  

Pekerja asing yang ada di negara ini masih belum mencukupi.

Sebab itulah kerajaan kita tidak teragak-agak menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Bangladesh di Dhaka pada 18 Februari 2016. Menerusi perjanjian tersebut Malaysia dikatakan akan membawa masuk sebanyak 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh dalam masa tiga tahun lagi.

Memandangkan terdapat bantahan daripada beberapa pihak, semalam (19 Februari, 2016) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing.

Sektor hartanah, perladangan, pembinaan, keselamatan dan perkhidmatan pembersihan jalan dan bangunan digerakkan oleh tenaga buruh asing. Selain, itu pasar raya,  kilang pembuatan, rantaian kedai makanan, peruncitan dan sektor keselamatan bangunan turut menggunakan perkhidmatan mereka.

Rancangan Pembangunan Malaysia (RMK) Ke-11 ada menyebut mengenai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing menjadi 15 peratus menjelang tahun 2020 daripada 30 peratus yang ada sekarang.

Tetapi bagaimana cara atau apa bentuk langkah atau insentif untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing tidak pula diperincikan dengan jelas.

Warga Malaysia sebenarnya mempunyai kesabaran luar biasa. Dalam banyak keadaan mereka bersuara sekali sekali sahaja, itupun menerusi ruangan komen di dada-dada akhbar. Ahli-ahli akademik dan NGO sekali-sekala menganjurkan seminar dan banyak resolusi telah dibuat, tetapi hasilnya tetap sama – tiada perubahan. Parti-parti politik tidak menjadikan kebanjiran pekerja asing sebagai isu utama.

Di Cameron Highland, peniagaan pasar malamnya dijalankan oleh 95 peratus warga Bangladesh. Di Kuala Lumpur, warga tempatan tidak lagi mengunjungi pasar raya Kota Raya dan Central Market pada hari minggu.

Rantaian kedai seperti 7-Eleven di sekitar Lembah Klang sudah makin jarang kelihatan wajah-wajah anak tempatan. Ada lorong dan bangunan yang penuh sesak dengan pekerja asing.

Terdapat banyak juga tempat hiburan dan kedai-kedai makan yang dibuka khusus untuk komuniti pekerja asing ini. Antara ciri utama yang amat ketara di kawasan yang dikuasai oleh pekerja asing ialah hingar-bingar dan kekotoran.

Namun, di tengah hingar-bingar, kekotoran yang menjolok mata dan lorong-lorong sesak itu terserlah kemakmuran Malaysia. Pekerja asing berpusu-pusu ke mari kerana diasak, didesak dan digegarkan oleh gelora kemiskinan di negara asal mereka.

Kepada usahawan, kebanjiran pekerja asing merupakan suatu rahmat. Apa tidaknya, gaji pekerja boleh terus dikekalkan rendah. Bangunan-bangunan dan rumah-rumah kedai boleh disewakan. Dan lebih penting lagi aktiviti ekonomi seperti perladangan, pembinaan, perkhidmatan dan sebagainya boleh diteruskan.

Kepada kerajaan, kebanjiran pekerja asing merupakan aspek amat diperlukan dalam usaha untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Tiada pekerja asing bererti tiada pertumbuhan ekonomi, penurunan hasil cukai pendapatan, pengangguran yang tinggi dan seterusnya melumpuhkan sistem kita bernegara.  

Malaysia akan terus menggandingkan warganya dengan pekerja asing untuk beberapa dekad lagi. Dalam proses itu Malaysia membina karakter unik dalam kalangan warganya.

Salah satunya ialah sikap ‘toleransi’ atau kesediaan luar biasa menerima apa yang bakal berlaku. Ini termasuklah menerima pekerja asing hanya sebagai sekerja dan juga bagi sesetengahnya sebagai pasangan hidup! – SARAWAKVOICE.COM