SIBU: Seorang penjenayah maut serta-merta apabila lima butir peluru menembusi badannya dalam aksi tembak-menembak di sini awal pagi tadi.

Penjenayah terbabit, Joshua Beti Chong, 41 tahun, dihujani tembakan peluru selepas melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis, sejurus kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas di Kilometer 14 Jalan Oya Lama dekat sini.

Joshua, merupakan antara nama dalam senarai dikehendaki polis sebelum ini kerana disyaki menjadi pembunuh upahan dalam beberapa kes berprofil tinggi di negeri ini.

Turut maut adalah rakan subahat Joshua, Awie Jingan, 36 tahun, yang ditembak dua kali di bahagian dada.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontijen Sarawak, Senior Asisten Dev Kumar, dengan tewasnya kedua-dua penjenayah terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan lebih enam kes bunuh dan cubaan bunuh, sejak empat tahun lalu, terutamanya yang menggunakan senjata senapang patah.

Saspek katanya, mula dikesan sekitar jam 1.30 pagi semalam sedang menghala ke Sibu berhampiran bulatan Kanowit.

” Pasukan khas Cawangan Jenayah Berat IPK Sarawak yang sedang melakukan risikan dan rondaan kemudian terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara berwarna putih yang dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.

” Menyedari mereka diekori, saspek memecut kenderaannya ke arah Selangau dan berlakulah aksi kejar-mengejar pada kelajuan yang tinggi.

Setibanya di KM 13 Jalan Oya Lama, kata Dev, polis cuba memintas kenderaan terbabit, tetapi saspek nekad melanggar kenderaan polis terbabit sebelum terbabas.

” Ketika polis melakukan pemeriksaan susulan, saspek melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan anggota yang terlibat bergegas mencari perlindungan dan melakukan tembak balas,” katanya.

Hasil pemeriksaan, polis kemudian menjumpai selaras senapang patah dan dua butir peluru di atas riba salah seorang saspek.

Semakan lanjut turut mendapati salah seorang saspek pernah ditangkap beberapa kali kerana dipercayai memiliki senjata secara haram.

Kejayaan ini disifatkan sebagai antara yang terbesar setakat ini, selepas beberapa kes pembunuhan berkait kongsi gelap di negeri ini.

Ketua Polis Negara mengucapkan tahniah kepada pihak polis di Sibu kerana berjaya menumpaskan dua pembunuh upahan. Beliau menyampaikan ucapan tersebut melalui akaun Facebooknya pagi ini.

Masyarakat di Sibu menganggap itu sebagai kejayaan besar polis di sini – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

>> EKSKLUSIF: Modus Operandi pembunuh upahan dibongkar <<