Penyelidik: Kekuatan PAS semakin rapuh, penyokong keliru tindakan Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Kekuatan PAS dikatakan semakin rapuh, dan jentera akar umbi keliru dengan tindakan politik Presidennya Datuk Haji Hadi Awang.

Demikian dapatan terbaharu kajian dilakukan Ilham Center berkenaan parti Islam berkenaan.

Dapatan kajian ini didapati sudah berlaku rungutan dan kebimbangan pimpinan bawahan parti seperti di peringkat cawangan mahupun kawasan terhadap perkembangan Pas mutakhir. Kebanyakan mereka yang ditemui ialah penyokong kem UG semasa Muktamar lepas.

“Pimpinan Pas peringkat tertinggi termasuk Ajk Pas Pusat sekarang kurang dikenali sejak menang dalam pemilihan muktamar lalu sehingga sekarang ini.

Jika dibuat perbandingan antara AJK Pas Pusat terdahulu dan diukur pada tempoh masa yang sama di dapati pimpinan sebelum ini lebih menonjol dan rajin memenuhi ceramah anjuran kawasan,” kata laporan kajian itu.

Kajian itu dijalan dua bulan kebelakangan ini terhadap perkembangan PAS di kawasan lingkaran Melayu di utara Semenanjung iaitu di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Utara Perak.

“Pimpinan sekarang, tidak turun ke bawah dan tidak menonjol di media menyebabkan kewujudan mereka tidk dirasai. Sifat lebih elitis dan sukar memenuhi undangan untuk berceramah di kawasan-kawasan,” tambahnya.

Jika adapun, nama pimpinan tersebut tidak bersifat crowd puller. “Ceramah hanya kepada ahli Pas sahaja. Gagal menarik minat pihak yang lain.

Lebih malang, nama sebesar Ketua  Pemuda, Ketua Penerangan, kehadiran sekadar mereka yang hadir ke majlis tahlil sahaja.”

Selain itu, Lujnah yang ditubuhkan  juga tidak berfungsi, malah tidak dirasai kewujudannya.

Pesuruhjaya Negeri tidak dikenali dan diyakini untuk memimpin negeri dan pilihan raya.

Berkaitan kerjasama  dengan UMNO, laporan itu menyatakan, rata-rata sukar menerima pendirian parti terbaharu atas konsep taawun. Tiada penjelasan tuntas terhadap satu polisi besar ini.

Ahli di bawah berbalah dan bertengkar atas perkara yang tidak difahami dengan jelas. Lebih malang pimpinan tertinggi tidak membuat pekeliling atau penjelasan rasmi parti.

Bagi sesetengah kawasan atau kampung yang sebelum ini memperlihatkan pertembungan “evergreen” struktur sosial antara PAS dengan UMNO seperti surau, kedai kopi, khairat kematian, tadika/pasti kini berada dalam dilema.

“Bayangkan selama ini ahli PAS bertembung sengit dengan ahli UMNO di kedai kopi, tiba-tiba sesi ini diminta ‘bekerjasama’ dengan Umno yang dahulunya musuh politik kepada mereka. Sebahagian memberikan gambaran akan tawaqquf sementara daripada gerak kerja parti ekoran pendirian Pas dengan Umno ini,” kata laporan itu.

Berkaitan gerak kerja pilihan raya, didapati  jentera pilihan raya PAS masih belum bergerak ke arah pilihan raya. “Ada beberapa sebab antaranya aktivis atau penggerak sebenar jentera sudah berhijrah ke Parti Amanah Negara (Amanah). Berbaki mereka yang tiada pengalaman dari aspek mengurus kendali modus operandi pilihan raya.”

Organisasi pilihan raya negeri bermasalah dari peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan. Semua individu penting sama ada dari aspek menyusun strategi, taktikal, teknikal, penjanaan dana parti kelihatan tidak menjiwai atau memahami peranan, kata laporan itu lagi.

“Nama hanya pada kertas untuk membuktikan ego PAS bahawa PAS masih belum lumpuh sepenuhnya walaupun pada hakikatnya, jentera pilihan raya PAS amat bermasalah.

Hasil kajian itu juga mendapati, kenyataan bercanggah antara pimpinan adalah antara kekurangan paling ketara kepemimpinan PAS kali ini.

Kenyataan media bercanggah antara satu sama lain sama ada antara Presiden dan Timbalan Presiden, Naib Presiden sesama Naib Presiden, Setiausaha Agung yang kelihatan bercanggah dan gagal diurus dengan baik.

Mesej yang dihantar kepada massa, tambah kajian itu lagi, menggambarkan PAS tidak mempunyai pendirian rasmi terhadap sesuatu isu, tetapi lebih kepada pandangan peribadi yang kemudiannya bercanggah sesama sendiri.