Jurugambar media terperangkap dalam banjir di Kuching

KUCHING: Kerana inginkan berita yang terkini, eksklusif dan sudut terbaik, seorang jurugambar akhbar nasional terperangkap dalam kawasan banjir di Kampung Rantau Panjang, dekat sini.

Zulazhar Sheblee, jurugambar kanan The Star ketika dihubungi melalui telefon berkata, dia terperangkap setelah jalan raya utama di kampung tersebut dinaiki air separas pinggang.

” Kereta saya diletakkan di atas jambatan sedangkan di bawah jambatan ini, air terus naik tinggi,” katanya.

Keseorangan dan gelap, Zulazhar yang dikenali sebagai “Apai” kini terpaksa menunggu sehingga air surut, mungkin pada jam 10 malam sebelum dapat keluar dari lokasi tersebut.

” Memang agak sayu dan lapar. Namun ini pengalaman menarik,” katanya yang berada di kampung tersebut sejak jam 3 petang tadi.

Zulazhar yang pernah bertugas dengan sebuah akhbar tempatan di Kuching, dikenali sebagai jurugambar yang tekun, kreatif dan imaginatif, serta bijak mencari sudut yang menarik, dalam kalangan jurugambar media tempatan.

Beliau telah mencipta nama dengan memenangi beberapa hadiah kewartawanan foto.

Prinsipnya, mendapatkan gambar yang terbaik untuk akhbar tempatnya bertugas kerana ia bukan sahaja memberi kepuasan kepadanya, tetapi khalayak yang membaca akhbar berkenaan.

Pada masa yang sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak dalam keadaan bersedia untuk membantu Apai jika keadaan memerlukan.

Ketua Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya sudah maklum akan hal itu, dan akan menggerakkan bantuan jika keadaan semakin menyukarkan bagi Apai. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA: Jurugambar media: Saya dengar orang harungi air, tapi tak nampak manusia