Calon BN diumumkan bulan depan

KUCHING: Selain tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), satu lagi teka-teki 1.1 juta pengundi adalah, siapakah bakal menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 nanti.

Mengikut sumber dalaman, Ketua Menteri perlu meneliti lebih lanjut senarai yang dikemukakan parti komponen, dan dua parti serpihan Barisan Nasional (BN).

Hal ini, mengikut sumber itu, berkaitan perebutan kerusi antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP), dan antara Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dengan Teras.

Lobi-melobi antara beberapa individu di peringkat akar umbi, menyebabkan nama asal calon yang telah dipertimbangkan perlu difikirkan semula, kata sumber itu.

Perkara ini difahamkan turut berlaku di satu dua kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurut Tan Sri Adenan Satem,  beliau akan mengumumkan  senarai calonnya pada bulan depan. Dipercayai, pengumuman itu akan dilakukan beberapa minggu sebelum pembubaran DUN.

Dalam pilihan raya negeri ke-10, pembubaran DUN  adalah pada 21 Mac, manakala penamaan calon diadakan 6 April. Hari mengundi jatuh pada 16 April.

Menjawab soalan pada sidang media selepas menutup Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Ndegeri Sarawak 2016 yang dihadiri warga pendidik di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini, Adenan mengakui  telah menyelesaikan kebanyakan masalah tetapi masih terdapat beberapa yang belum dibereskan lagi. – SARAWAKVOICE.COM