“Benci Tapi Rindu” terhadap lelaki Bangladesh

Bangla oh Bangla … apa pasal kau jadi isu hangat nasional. Bangladesh hanyalah salah sebuah ‘negara sumber’. Banyak juga pekerja asing di Malaysia — dari Indonesia, Pakistan, Vietnam, Myanmar, dan Nepal.

Cuba luangkan sedikit masa jalan-jalan di Pulau Pinang, dan beri komen anda tentang apa yang boleh anda perhatikan.

Satu lagi alternatif, pergi jalan-jalan di sekitar kota raya Kuala Lumpur sewaktu cuti mana-mana perayaan.

Tanpa sebarang prasangka ok. Mungkin akan ada yang merasakan macam berada di luar negara di negara Dunia Ketiga mana pula ni.    

Apa yang menyebabkan isu pengambilan pekerja Bangladesh ini begitu menarik perhatian? Isu ini dispin  media?

Pertamanya, saya rasa angka ‘1.5 juta’ itu menakutkan. Kenapa begitu besar jumlahnya?

Dua, perasaan fobia rakyat Malaysia ekoran daripada dakwaan ‘pengundi hantu’ yang dimainkan sewaktu kempen pilihan raya umum ke-13 tidak lama dulu. Jadi, adakah isu terbaharu ini dipolitikkan?

Siapa sebenarnya yang mahu bawa masuk Bangla ini?  

Wajar juga yang berprasangka buruk Malaysia bakal bertukar menjadi ‘Banglaysia’ kalau tidak faham cerita ini.     

Hakikatnya, sektor swasta yang ingin membawa masuk pekerja asing ini untuk kerja-kerja 3D iaitu singkatan kepada kotor, sukar, dan bahaya. Kalau sebagai ekspatriat mungkin juga tidak mengundang kontroversi sebegitu.

3D bukan hanya babitkan sektor pembinaan atau perladangan yang disebut-sebut. Kerja-kerja 3D ini termasuklah pembersihan dapur yakni juga merujuk kepada industri perhotelan.

Mungkin sudah tiba masanya kita mencari alternatif lain. Misalnya, untuk bersihkan rumah, trend baharu yang semakin popular adalah memanggil agensi pembersih datang bersihkan rumah seminggu sekali atau dua minggu sekali.

Apakah ia melibatkan Sarawak?

Sarawak tidak akan terima pekerja Bangladesh atau jangan bawa masuk ke Sarawak. Pemimpin Sarawak termasuk Pak Nan sudah tegaskan hal ini.

Betulkah atau mampukah Sarawak yang diperintah kerajaan BN berbuat demikian?

Rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia yang pernah ke Sarawak mesti tahu jawapannya. Anda meskipun warganegara Malaysia perlukan pasport untuk memasuki Sarawak atau kini dipermudah sedikit dengan cip MyKad.  

Hal imigresen merupakan autonomi kerajaan negeri.  

Bagus jangan banyak merepek atau merapu mereka-reka cerita berlagak lebih pandai untuk meraih undi kerana anda mungkin orang seterusnya yang kena blacklist masuk ke Sarawak.

Betulkah rakyat Malaysia tidak mahu terlibat dalam sektor 3D?

Yang pasti saban hari nampak makin ramai menceburi hobi yang lasak, kotor, dan berbahaya. Aksesori untuk aktiviti lasak larian salt trails, dan ultra marathon pun bukannya harga Adidas kampung. Apatah lagi kalau hobi Safari-4WD.

Sejujurnya, saya merupakan salah seorang ibu bapa yang tidak mahu anak terlibat dalam sektor 3D.

Petani pun nasihati anaknya rajin-rajin belajar supaya suatu hari nanti kerja pegang pen duduk dalam aircon – bukan pegang cangkul di bawah terik mentari.

Tengah saya ternampak gambar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meraikan perayaan Tahun Baharu Cina di rumah Senator Prof. Dr. Sim Kian Hui di Kuching, Sarawak. Saya terima mesej: “Kerajaan ambil keputusan tangguh pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangadesh – TPM @Zahid_Hamidi”.

Semoga kerajaan akan kendalikan kajian holistik termasuk dari segi penilaian impak sosial sebelum benarkan semula pihak industri membawa masuk pekerja asing. – SARAWAKVOICE.COM