Adenan optimis BN rampas 4 kerusi Cina

 

KUCHING: Ketua Menteri optimis Barisan Nasional (BN) berupaya merampas kembali sekurang-kurang empat kerusi daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

Beliau sependapat dengan Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi bahawa BN mampu merampas semula empat kerusi majoriti Cina di bandar.

Tan Sri Adenan yakin akan keupayaan BN berbuat demikian. “Kami optimis. Kami sudah lakukan pengiraan kami dan kami agak yakin.”

Asas keyakinan Stephen Rundi  adalah kepada pendekatan dan “inisiatif yang mesra rakyat”  Adenan sejak menerajui negeri ini pada 28 Februari 2014.

Adenan telah melaksanakan sekitar 50 dasar termasuk yang mesra kaum Cina, seperti mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC), meningkatkan peruntukan untuk sekolah persendirian Cina, dan tidak menganggap Cina sebagai pendatang.

DAP memenangi 12 daripada kerusi majoriti Cina, dan satu lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat pada 2011.

Kerusi tersebut ialah Pending, Padungan, Kota Sentosa,  Batu Kawah, Dudong, Pelawan, Bukit Assek,  Repok, Maradong, Kiduring, Piasau,  Pujut.

Batu Lintang dimenangi PKR.

Undi Cina menyokong BN merosot tajam sebanyak 12 peratus menjadi sekitar 37 peratus dalam pilihan raya itu.

Berbanding DAP yang menguasai 44.91 peratus daripada 300,288 undi keseluruhan dimenangi pembangkang, SUPP pula hanya menguasai 30.02 peratus undi daripada 372,379 undi keseluruhan dikuasai BN dalam pilihan raya berkenaan.

Baca  wawancara eksklusif SarawakVoice.com dengan Penganalisis Politik Dr Lee Kuok Tiung “Apa lagi Cina mahu?” pada Rabu, 24 Februari. – SARAWAKVOICE.COM