Zahid Hamidi bidas pemimpin gila talak, yang anggap diri terbagus

KUCHING: Di sebalik kritikan dan sindiran yang dilontarkan  beberapa mantan pemimpin kerajaan, Timbalan Perdana Menteri dengan sinis membidas golongan  terbabit, yang mengkritik langkah kerajaan mengubah segelintir dasar.

Golongan ini menuduh kerajaan tidak tetap dengan pendirian apabila membuat sesuatu perubahan dasar selepas mendengar suara desakan rakyat.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika berkuasa pemimpin terbabit turut melakukan tindakan yang serupa sebagai respons terhadap reaksi rakyat terhadap dasar yang diumumkan.

Namun, beliau kesal apabila kerajaan sekarang melakukan perubahan, ia dianggap tidak mempunyai pendiran tetap atau tidak memikirkan dasar berkenaan dengan teliti. 

Kerajaan telah mengubah dasar berkaitan dengan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh sehari selepas memeterai perjanjian persefahaman dengan kerajaan Bangladesh.

Tindakan itu dikritik setengah-setengah pihak termasuk mantan pemimpin kanan kerajaan yang disifatkan sebagai tidak mempunyai pendirian tetap. Antara mereka yang lantang mengkritik melalui media baharu ialah mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz.

“Tokoh itu ingat dialah yang terpandai,  terbaik dan terbagus. Zaman dia sudah berlalu, hormatilah kepemimpinan dan pegawai yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri di sebuah hotel di sini, hari ini.

Jelas kesal dengan sikap pemimpin terbabit, meskipun tidak menyebut nama, beliau kelihatan menghalakan bidasannya itu antara lain kepada beberapa mantan menteri kanan dan pemimpin elit negara. Namun, beliau menegaskan, kenyataan beliau tidak ditujukan kepada individu tertentu.

Timbalan Perdana Menteri berkata,  semasa mempunyai kuasa, ada daripada mereka ini tidak melakukan sebarang  perubahan dan pembaharuan. Namun, golongan berkenaan terus mengkritik segala usaha gigih kerajaan.

“Orang ini adalah orang ‘gila talak,’ apabila ada jawatan tidak mahu buat, apabila hilang jawatan dan nak jawatan, barulah kata kerajaan tidak betul. Walhal semasa ada jawatan dulu, ia adalah disebabkan oleh sokongan pegawai dan kakitangan akar umbi,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM