LAWAS: Seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai lemas akibat terhidu asap dari tilam dalam bilik tidurnya yang terbakar, dalam kejadian di Kampung Punang Jaya di sini, tengah malam tadi.

Kejadian disedari kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh ahli keluarga sebaik melihat asap keluar dari bilik mangsa dikenali sebagai Mastura Jaafar, 69.

Jurucakap bomba berkata, difahamkan mangsa tidur berseorangan dalam bilik di tingkat atas rumah dua tingkat itu.

Menurutnya, sebaik mengesyaki berlaku kebakaran, ahli keluarga segera memecahkan pintu bilik yang berkunci.

“Apabila pintu terbuka, mereka mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.

“Ahli keluarga segera memadamkan tilam yang terbakar dengan mengangkut air menggunakan baldi,” katanya.

Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas tiba di lokasi kejadian jam 12.56 tengah malam.

“Tiada operasi memadamkan kebakaran dilakukan kerana ahli keluarga memaklumkan api sudah berjaya dipadamkan. Bomba hanya mengambil maklumat mengenai kejadian itu.

“Pasukan paramedik mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan pemeriksaan mendapati dia hanya melecur di kedua belah kaki,” katanya.

Jurucakap berkata, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan forensik bomba dan mayat diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Lawas. – SARAWAKVOICE.COM