KUCHING: Hujan luar biasa berterusan sejak malam tadi meletakkan bandar raya ini dan kawasan rendah di sekitarnya dalam risiko banjir.

Tinjauan awal pagi ini mendapati beberapa kawasan rendah mula dinaiki air manakala Sungai Sarawak berada pada paras berjaga-jaga.

Hujan di kawasan hulu turut menyaksikan beberapa kampung di Padawan mula tenggelam sejak awal pagi.

Antara yang terjejas, termasuklah Kampung Simpok di Padawan apabila air naik di paras pinggang.

Bagaimanapun setakat jam 7.30 pagi tadi, belum ada pusat pemindahan banjir yang dibuka.

Sementara itu, dalam kes yang berlainan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sarawak malam tadi menerima panggilan kecemasan berhubung insiden mangsa terperangkap di seberang Sungai Teng Bukap, Jalan Padawan, Siburan.

Hujan lebat yang berterusan sejak siangnya menyebabkan mangsa yang terlibat dalam perkhemahan pelajar terperangkap apabila paras air sungai semakin naik.

Menurut Penolong Pegawai JBPM Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, lebar sungai tersebut kira-kira 20 meter menyebabkan mangsa sukar untuk kembali ke seberang, apatah lagi dalam keadaan gelap dan arus deras.

” Kita menghantar sebuah jentera, dua pacuan empat roda dan sebuah bot untuk menyelamat tetapi kerja-kerja penyrlamatan belum dapat dimulakan kerana arus sungai agak deras dan berbahaya,” katanya.

Difahamkan jumlah mangsa yang terperangkap adalah seramai 38 orang
Baki 21 lagi juga terletak di seberang sungai tersebut, tetapi pada kedudukan yang lebih tinggi.

” Mereka merupakan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak yang terlibat dengan Program Kepimpinan universiti terbabit.

” Mereka ditemani oleh dua guru pengiring bagaimanapun masih dapat dihubungi melalaii walkie-talkie,” kata Farhan yang kini berada di lokasi.

Sehingga berita ini ditulis, pasukan penyelamat masih menunggu keadaan arus menjadi selamat sebelum bot penyelamat digerakkan bagi mendapatkan mangsa. – SARAWAKVOICE.COM