KUCHING: Hanya 50 peratus daripada penghuni penjara Kuching yang terletak di Puncak Borneo dekat sini adalah rakyat tempatan, menjadikan ia penjara terbaik di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, hanya 0.02 peratus daripada banduan di penjara yang memiliki 2600 sel ini terdiri daripada banduan berulang.

” Ini membuktikan program koreksional kita amat berkesan dalam memulihkan golongan banduan ini dan menempatkan mereka kembali kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Penjara ke-226 di Padang Merdeka, dekat sini petang tadi.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri James Jemut Masing mewakili Ketua Menteri serta dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jazlan Mohammad dan Masir Kujat.

Pada majlis yang sama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang juga mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dianugerahkan pangkat Komisoner Kehormat Jabatan Penjara Malaysia.

Mengulas lanjut, Menteri Dalam Negeri itu berkata, pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan Jabatan Penjara telah meningkatkan peranan dan imejnya sebagai institusi koreksional terbaik bukan sahaja di peringkat serantau, malah Asia.

” Pembaharuan yang dilaksanakan ini menepati perkembangan semasa, terutama dalam membantu mempersiapkan golongan banduan untuk menyumbang kepada pembangunan negara sebaik dibebaskan, selain kembali mendapat tempat dalam masyarakat.

Katanya, ini dilaksanakan melalui penganjuran pelbagai kursus kemahiran untuk banduan di semua penjara di seluruh negara.

” Sejumlah RM32 juta berjaya diperoleh daripada hasil jualan pelbagai produk banduan yang mengikuti pelbagai kursus kemahiran, termasuk songket, batik dan barang kraftangan, pembuatan roti serta khidmat dobi.

Keuntungan itu katanya, dikongsikan bersama-sama banduan dan membantu mereka membuat simpanan sebagai bekalan memulakan kehidupan baru.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, kementerian juga sedang meneliti cadangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem agar banduan terpilih dihantar menjalani pemulihan di kem tentera dan tanah kosong di negeri ini untuk pelbagai aktiviti berfaedah, termasuk pertanian.

” Ia cadangan yang baik dan akan dipertimbangkan. Kita akan berbincang dengan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenainya… yang sesuai untuk banduan yang berbaki hukuman penjara di bawah tiga tahun atau dihukum kurang daripada tiga tahun,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut mengakui pendekatan negara dalam menangani kegiatan radikal dan ekstremis menjadi contoh kepada beberapa negara luar, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Katanya, kejayaan program “deradikalisasi” yang dilaksanakan Jabatan Penjara telah mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan INTERPOL, yang turut menyatakan minat mereka untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam menangani isu berkenaan.

” Mereka yang ditahan, yang terlibat dalam aktiviti militan, radikal dan ekstremis, terdapat kira-kira 130 orang… mereka tidak dicampurkan dengan banduan-banduan lain.

” Kita khuatir mereka akan mempengaruhi banduan lain, kita asing mereka, kita pulih mereka, dengan melakukan deradikalisasi,” katanya.

Hasil program deradikalisasi ini, katanya, kadar pemulihan banduan ini mencapai kejayaan 97 peratus.

” Malah melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), program berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar psikologi, khusus dalam membimbing mereka untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM