BINTULU: Seorang lelaki warga Indonesia maut tersepit apabila lori yang dipandu terlibat dalam kemalangan yang melibatkan tiga lori di KM 76, Jalan Sibu-Bintulu, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Ismail Syavie, 42 tahun maut di lokasi kejadian, manakala dua pemandu lain yang juga warga Indonesia, Makmun, 33 dan Amin Noha, 39 hanya cedera ringan.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 6 petang itu, lori dipandu Ismail dan Makmun yang membawa muatan buah kelapa sawit dari Sibu ke Bintulu cuba memotong sebuah lori tiga tan yang rosak.

Katanya, lori rosak itu ditinggalkan di tepi jalan.

“Ketika kedua-dua lori itu cuba memotong, lori dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori tangki yang datang dari arah Bintulu ke Sibu.

“Ismail tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal oleh kakitangan Klinik Kesihatan Selangau, manakala Makmun yang melanggar belakang lori Ismail hanya cedera ringan,” katanya.

Katanya, kemalangan berkenaan menyebabkan buah kepala sawit bertaburan di jalan, sekali gus menyebabkan kesesakkan lalu lintas.

Bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.18 petang.

Sumber berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian bomba menggunakan peralatan menyelamat dan pemotong besi untuk mengeluarkan mangsa.

“Satu jentera pengangkut kayu balak digunakan untuk menggerakkan lori bagi membolehkan kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira satu jam 10 minit dan tamat sepenuhnya pada jam 8.20 malam,” katanya.

Mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Bintulu. – SARAWAKVOICE.COM

Indonesia maut BINTULU 000