Cukai tanah Sarawak mansuh, ringankan beban rakyat

SARIKEI: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pagi tadi memberi bayangan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak akan sekali lagi mencipta sejarah dengan “memansuhkan” cukai tanah.

Menurutnya, beliau sedang meneliti pendekatan yang sesuai untuk melaksanakan pemansuhan tersebut, yang disifatnya sebagai langkah terkini untuk membantu meringankan beban rakyat.

” Langkah ini dijangka memberi banyak kelebihan kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunannya, terutama di kawasan pedalaman,” katanya ketika merasmikan Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Sarikei di sini.

Lebih 30,000 penduduk hadir pada majlis ini termasuk Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

Pada majlis itu Adenan meluluskan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk menaik taraf Kompleks Sukan Sarikei selain memperuntukkan RM4.5 juta untuk naik taraf Jalan Sarikei-Tanjung Manis.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, sebelum cadangan pemansuhan cukai tanah ini dapat dilaksanakan, beliau perlu mendapatkan semula hak untuk memungut hasil duti setem daripada Kerajaan Persekutuan.

” Saya memahami kadar pungutan cukai tanah membelenggu rakyat kita saban tahun dan kita tidak mahu perkara yang sama terus berulang.

” Oleh itu, dalam perbincangan autonomi dengan Perdana Menteri, saya akan memasukkan perihal kuasa pungutan duti setem untuk diserahkan semula kepada kerajaan negeri.

Jelasnya, duti setem ini mampu mendatangkan pendapatan hingga jutaan ringgit, dan jika Kerajaan Pusat bersetuju dengan cadangan ini, cukai tanah boleh kita hapuskan. – SARAWAKVOICE.COM