4 bandar di Sarawak dijangka bergoncang bulan Mac, April

KUCHING: Empat bandar di Sarawak dijangka ‘bergoncang’ pada bulan Mac dan April depan.

Bandar tersebut ialah Limbang, Sri Aman, Kota Samarahan dan Kuching.

Sekurang-kurangnya 400,000 pengunjung dijangka mengunjungi tapak pameran Program Senada Sejiwa di bandar terbabit, menyebabkan bakal sesak dengan orang ramai bukan sahaja dari bandar itu, tetapi bandar dan pekan di sekitar.

Program di Limbang akan diadakan pada 25-27 Mac, Sri Aman 8-10 April dan Samarahan 15-17 April.

Kemuncak program akan diadakan di bandar raya Kuching pada 22-24 April, iaitu enam hari sebelum pilihan raya negeri.

Pilihan raya negeri dijangka diadakan 30 April, sementara tarikh pencalonan adalah pada 18 April.

Program anjuran Kerajaan Negeri itu merupakan satu daripada siri pameran dalam program berkenaan.

Program  pertama di Miri dikunjungi 80,000 pengunjung, manakala yang di Sibu 180,000 pengunjung dan peserta. Program Sejiwa Senada di Sarikei pula berjaya menarik perhatian sekitar 40,000 pengunjung.

Pemerhati politik menganggap bahawa program itu merupakan antara petanda bahawa pilihan raya semakin dekat.

Seorang pemerhati politik berkata, ini merupakan usaha kerajaan untuk memberitahu rakyat tentang pembangunan yang telah dicapai oleh kerajaan, dan peluang yang bakal dinikmati rakyat jika terus menyokong Barisan Nasional.

Objektif program itu, mengikut sumber kerajaan, adalah untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat, sesuai dengan tema “Kerajaan Bersama Rakyat”.

Pelancaran biasanya dilakukan  Ketua Menteri Tan Sri Adenan Haji Satem. Kesempatan itu digunakan oleh Tan Sri Adenan untuk merayu rakyat Sarawak agar terus memberi mandat kepada beliau supaya dapat terus memacu Sarawak ke hadapan, selain mengumumkan dasar dan langkah baharu.

Di Sarikei, beliau mengumumkan kerajaan Sarawak kemungkinan memansuhkan pintu cukai, dalam usaha meringankan beban rakyat yang kini berdepan kos hidup yang melonjak.

Bagi menarik pengunjung pelbagai acara diadakan, termasuk  persembahan oleh artis popular tanah air dan jamuan rakyat.

Menjelang pilihan raya negeri 2011, program berkenaan diadakan di pelbagai bandar di seluruh Sarawak, dan mengikut statistik kerajaan, berjaya menarik 900,000 pengunjung. – SARAWAKVOICE.COM