Warga Kuching, jangan lalui tujuh jalan berikut petang ini

KUCHING: Polis menasihati pengguna jalan raya  supaya mengelak daripada menggunakan tujuh jalan utama di bandar ini petang Sabtu, 20 Februari.

Jalan-jalan utama itu terpaksa ditutup bagi melancarkan perjalanan acara sempena sambutan Hari Penjara Ke-30 Peringkat Kebangsaan, dijadualkan bermula pukul 2.00 petang di Padang Merdeka di sini.

Pihak polis dalam satu kenyataan menyatakan, penutupan dan lencongan terpaksa dilakukan dari pukul 12.00 tengah hari hingga 4.30 petang.

Jalan-jalan terbabit ialah  Jalan Satok/Lampu Isyarat Jalan Tun Abang Haji Openg, Susur Jalan Reservoir/Jalan Taman Budaya,  Lampu isyarat jalan Tabuan/McDougall, Simpang Jalan Wawasa/Jalan Wayang. Jalan-jalan lain yang terlibat ialah Lampu Isyarat JalanWayang/Jalan Main bazaar, Simpang Jalan Power/Jalan Market, dan Jalan Dockyard.

Pihak polis menasihati orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan ditetapkan, iaitu Reservoir Park, The Hill Pullman, Medan Kereta Top Spot, Parkson, dan Medan Pelita.

Pihak polis turut menasihati orang ramai supaya mengikuti tanda-tanda  isyarat kawalan lalu lintas yang diarahkan oleh pegawai polis bertugas.

Mereka tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan berdekatan lokasi majlis sehingga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Kerjasama daripada orang awam amat diharapkan bagi melancarkan perjalanan majlis sambutan ini,” kata kenyataan itu.

Majlis itu akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang kini dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak. – SarawakVoice.com