Ustaz Kazim diserang sakit dada, hentikan ceramah

BACHOK:  Hadirin cemas seketika apabila  Datuk Mohamad Kazim Elias yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim tiba-tiba menghentikan ceramah agama selepas lima minit di Gunong, malam tadi.

Beliau  mengadu sakit dada dan terus dibawa ke Klinik Kesihatan Gunong sebelum dirujuk kepada pihak Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Mereka yang menyaksikan majlis itu  berkata, sejurus naik ke pentas, dan memulakan ceramah tidak sampai lima minit, Ustaz Kazim terpaksa berhenti menyampaikan ceramah.

Ustaz Kazim, seorang penceramah bebas, terkenal dalam kalangan umat Islam di negara ini, dan sering  dijemput pelbagai pihak ke seluruh negara, serta Singapura dan Brunei.

Beliau mempunyai jutaan peminat di negara ini.

Beliau popular dan amat disenangi kerana gaya persembahannya yang menarik dan bersahaja, diselitkan dengan jenaka dan anekdot yang menarik.

Pendegar tidak kering gusi apabila mendengar ceramahnya, yang sarat dengan mesej agama.

Mereka yang hadiri mendapati beliau kelihatan kurang sihat dan wajahnya pucat, namun tetap mahu meneruskan ceramah kerana tidak mahu menghampakan hadirin.

Jurucakap penganjur berkata, penceramah bebas itu memohon maaf kepada mereka yang hadir kerana tidak dapat meneruskan ceramah seperti yang dijanjikan kerana perlu ke hospital dengan segera.

Ceramah agama itu dianjurkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). – SARAWAKVOICE.COM