PRN Sarawak: Parti Amanah pimpinan Mat Sabu kibar bendera putih

KUALA TERENGGANU:  Parti Amanah Negara awal-awal lagi mengibarkan bendera putih, sekalipun belum lagi bertarung di gelanggang.

Parti serpihan PAS itu, dijangka mengemukakan sekurang-kurang 10 calon dalam pilihan raya negeri ke-11 pada 30 April depan.

Penamaan calon dijangka 18 April.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu membayangkan ketidakyakinan Amanah memenangi sebarang kerusi kerana pelbagai kekangan dan kendala yang dihadapinya.

Amanah, sebuah parti baharu yang tidak mempunyai jentera akar umbi yang kuat, dan pengaruhnya amat terbatas.

“Lagipun, imejnya yang tidak berbeza daripada PAS pasti menjejaskan peluangnya untuk menang,” kata seorang pemerhati politik di Sarawak.

Terdapat 82 kerusi bakal ditandingi, ekoran pertambahan 11 kerusi baharu selepas proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tapi kita akan usahalah sekadar yang mampu, perjalanan kempen kalau naik dengan bot 6-7 jam, jadi satu hari kempen kita boleh sampai ke beberapa tempat sahaja, nak banding dengan Barisan Nasional yang naik helikopter, ” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas merasmikan pejabat operasi Amanah dan Pakatan Harapan negeri Terengganu di pusat komersial di Paya Keladi di Kuala Terengganu, semalam. – SARAWAKVOICE.COM